aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Presiden Persekutuan Karate Malaysia (Makaf), Datuk Nur Azmi Ahmad, bersedia mempertaruhkan segala pengalamannya selama lebih 30 tahun demi membantu sukan negara.
Atas sebab itu, Azmi yang kini memegang jawatan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), memutuskan untuk bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden MOM bagi penggal 2025-2029 dan akan dicabar oleh Presiden Persatuan Boling Padang Malaysia, Datuk Awalan Abdul Aziz.
Perebutan kerusi nombor dua MOM itu menjadi tumpuan selepas Tan Sri Mohamad Norza Zakaria kekal menjawat jawatan Presiden MOM bagi penggal sama selepas menang tanpa bertanding.
Nur Azmi, yang pernah bergelar atlet hoki, menegaskan bahawa beliau tidak pernah memburu jawatan, sebaliknya merasakan menjadi tanggungjawabnya untuk membantu serta menyumbang kepada perkembangan sukan negara.
“Objektif utama saya adalah memastikan sukan negara berjaya menyumbang pingat dan tiada kepentingan lain.
“Saya rasa, pengalaman saya boleh membantu dan jika terpilih, saya mahu pastikan sukan yang bertanding di peringkat seperti Sukan Sea, Asia atau Olimpik dapat membuat persiapan yang lebih rapi.
“Saya ini, bila ada kekosongan dan perlu bantu, saya masuk. Saya rasa sudah tiba masanya saya main peranan lebih besar.
“Saya pernah bersama sukan hoki sebagai pemain dan pentadbir, kini bersama karate dan juga bola sepak Melaka. Semua itu beri saya perspektif menyeluruh,” katanya.
Nama Nur Azmi cukup dikenali dalam arena sukan negara kerana pernah menyandang beberapa jawatan utama dalam badan sukan lain termasuk sebagai Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).
Beliau kini juga adalah pemilik Kelab Bola Sepak Melaka FC dan di bawah kepimpinannya, pasukan itu berjaya muncul juara Liga A1 Semi-Pro musim ini.
Sebagai Presiden Makaf, Nur Azmi menjadi watak penting dalam kejayaan atlet sukan itu meraih pelbagai pencapaian di pentas antarabangsa, termasuk memenangi pingat emas Sukan Asia Hangzhou 2022 menerusi Muhammad Arif Afifuddin Malik dalam acara kumite lelaki bawah 84 kilogram.
© New Straits Times Press (M) Bhd