Nur Izzati raih Anugerah Pelajaran Diraja UMT ke-22

Nur Izzati raih Anugerah Pelajaran Diraja UMT ke-22


KUALA NERUS: Kejayaan Nur Izzati Yusri yang menerima Anugerah Pelajaran Diraja sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kali ke-22 hari ini ternyata didorong oleh sokongan padu keluarganya.

Lebih istimewa, anugerah tersebut telah disampaikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah, Tuanku Canselor UMT, di Dewan Sultan Mizan (DSM), UMT.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim), Nur Izzati berkata, anugerah yang diterimanya itu adalah hasil kesungguhan dan ketabahan menempuh cabaran bergelar pelajar UMT serta restu dan sokongan tanpa henti daripada ibu bapanya.

“Saya sangat terharu dan bersyukur menerima anugerah yang berprestij ini kerana saya banyak mengorbankan masa untuk memastikan kejayaan dalam akademik sambil aktif dalam pelbagai aktiviti universiti dan ia telah membentuk jati diri saya sepanjang berada di UMT.

“Selain itu, saya juga telah menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Jawatankuasa Kolej Kediaman Terbaik dan menjadi finalis untuk Anugerah Pemimpin Kolej Kediaman Terbaik MAPUM,’ katanya.

Terdahulu, walaupun aktif dalam kepimpinan, kemasyarakatan, dan keusahawanan, Izzati dilihat berjaya menerima Anugerah Bingkas dalam Anugerah Ikon Siswa (AIS) UMT 2023.

Beliau dianugerahkan sijil dekan untuk setiap semester sepanjang pengajiannya, mengekalkan rekod cemerlang selama lapan semester berturut-turut.

Dalam pada itu, Nur Izzati yang juga pengarah program antarabangsa “Colors of Korea: Students Council Autumn Delegation” berkata, para pelajar UMT seharusnya mengambil peluang yang disediakan oleh universiti terutamanya melalui Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) dalam mengembangkan potensi diri.

“Penyertaan dalam aktiviti persatuan tidak menghalang kecemerlangan akademik, malah dapat membantu membentuk pelajar yang lebih seimbang dan berdaya saing.

“Saya sangat berterima kasih kepada ibu bapa saya atas pengorbanan mereka serta kepada UMT yang memberi banyak peluang untuk saya menyerlahkan bakat yang ada,” jelasnya.

Tambahnya, rahsia kejayaan tersebut adalah kemampuan menguruskan masa dengan bijak dalam mengimbangi antara akademik dan aktiviti luar serta memastikan tugasan disiapkan lebih awal.

“Kejayaan ini boleh menjadi contoh terbaik kepada pelajar baharu bahawa penglibatan dalam aktiviti universiti tidak menghalang kecemerlangan akademik, malah membantu membentuk graduan yang lebih holistik,” ujarnya.– UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top