July 16, 2024

Nurakma pergi jua…

Nurakma pergi jua…



am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Kakitangan bahagian pengiklanan Media Prima Bhd (MPB) Bandar Baru Uda yang terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kulai, kelmarin meninggal dunia tengahari hari ini selepas menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Nurakma Mohd Kalimuddin, 37, yang koma selepas kejadian meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala pada 12.30 tengahari.

Dalam kejadian berkenaan, suami arwah, Abdul Rahman Oyub, 40, dan dua orang anak lelakinya turut mengalami kecederaan.

Malah dalam kejadian berkenaan, Nurakma yang hamil cahaya mata ketiga turut kehilangan bayi dalam kandungan yang mencecah enam bulan.

Terdahulu Nurakma menerima rawatan di Hospital Kulai sebelum dipindahkan ke HSA kerana keadaannya kritikal.

Kejadian berlaku KM36.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara kira-kira 11 malam membabitkan sebuah lori jenis Hino dan dua kereta iaitu Honda BRV dan Honda Accord.

Sebuah lori dari arah Utara-Selatan hilang kawalan terbabas dan merempuh besi pembahagi jalan di tengah jalan lalu memasuki ke arah bertentangan.

Kereta jenis Honda BRV yang dipandu Nurakma dari arah bertentangan yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian hadapan lori.

Manakala kereta jenis Honda Accord dari arah utara gagal mengelak dan terus merempuh lori.

Sementara itu, seorang rakan sekerja arwah yang hanya mahu dikenali sebagai Norhuda berkata, arwah seorang yang berdedikasi serta mudah mesra.

“Namun sejak dua minggu lalu, Nurakma lebih pendiam berbanding sebelum ini.

“Allah lebih menyayanginya yang menjadi insan yang baik serta penyayang,” katanya.

Semalam akhbar ini melaporkan kejadian menimpa Nurakma serta ahli keluarganya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top