Nurul Asrul minta bantuan orang ramai cari adik perempuan hilang

Nurul Asrul minta bantuan orang ramai cari adik perempuan hilang


BUTTERWORTH – Seorang lelaki meminta bantuan orang ramai mencari adik perempuannya berusia 17 tahun yang dilaporkan tidak pulang ke rumah di Bagan Ajam di sini sejak semalam.

Mohammad Nurul Asrul Norulfadli, 23, berkata, Siti Nur Khaireena Zufairi dikatakan keluar dari rumah dengan kenalan lelaki yang tidak dikenali keluarga pukul 5 petang.

Kehilangan adik tirinya itu hanya disedari keluarga selepas menerima pesanan suara daripada seorang lelaki menerusi aplikasi WhatsApp.

“Pesanan itu dihantar menggunakan nombor telefon Siti Nur Khaireena dan lelaki itu mendakwa adik saya berada bersamanya di Bandar Kota Bharu, Kelantan.

“Setakat 9 malam kami masih boleh menjejak lokasi menerusi nombor telefon itu namun tidak lama kemudian, nombor telefon kami disekat.

“Bimbang sesuatu buruk berlaku, kami membuat laporan berhubung kehilangan adiknya di Balai Polis Butterworth hari ini,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Mohammad Nurul Asrul, keluarganya meminta bantuan saudara di Kelantan untuk mencari Siti Nur Khaireena di alamat yang diberikan menerusi pesanan suara itu.

“Akibat kekangan kewangan kami minta tolong saudara di sana untuk menjejaki adik tapi mereka gagal menemuinya susulan pangsapuri itu dikawal sekuriti.

“Justeru, saya berharap jika ada orang awam yang menjumpainya, boleh lapor ke balai polis berhampiran atau hubungi saya di talian 012-360 3253,” katanya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top