TEKA-TEKI mengenai ketua kontinjen negara (CDM) ke Sukan SEA Thailand 2025 hujung tahun ini akhirnya terlerai apabila perenang legenda negara, Nurul Huda Abdullah dipilih untuk mengalas tugas besar bagi temasya edisi ke-33 itu.
Perenang ikonik era 80-an itu akan dibantu oleh tiga timbalan yang
berwibawa terdiri daripada pentadbir sukan berpengalaman dan bekas atlet negara.
Mereka ialah Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh, legenda pecut, Nazmizan Muhammad dan bekas pemain hoki negara, Jivan Mohan.
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pemilihan mereka dibuat dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia serta Majlis Sukan Negara (MSN).
“Ia bagi memastikan pemimpin yang paling mampu dan berpengalaman untuk memandu kontinjen Malaysia menuju kejayaan pada temasya dwitahunan itu.
“MOM yakin kepimpinan mereka yang sangat dihormati dan kaya dengan pengalaman sebagai atlet serta pentadbir sukan akan memberi inspirasi serta motivasi kepada kontinjen Malaysia untuk meraih kejayaan cemerlang.
“Memacu semangat kesukanan dan membawa kebanggaan kepada Malaysia di Sukan SEA ke-33 Thailand 2025 yang akan datang,” kata MOM menerusi satu kenyataan pada Isnin.
Temasya tersebut akan berlangsung di tiga wilayah melibatkan Bangkok, Chonburi dan Songkhla bermula 9 hingga 20 Disember depan.
Nurul Huda pernah mewakili Malaysia pada Sukan Olimpik Seoul edisi 1988.
Malah beliau juga merupakan pemegang rekod jumlah pingat terbanyak yang dimenangi oleh seorang atlet Malaysia pada Sukan SEA dengan jumlah luar biasa sebanyak 32 pingat iaitu 22 emas, lapan perak dan dua gangsa pada tiga edisi berturut-turut iaitu 1985, 1987 dan 1989.
Kenny pula mencerminkan transformasi berjaya daripada seorang guru Pendidikan Jasmani kepada pentadbir sukan yang dihormati di Malaysia.
Beliau memberi sumbangan besar dalam arena sukan antarabangsa apabila berkhidmat sebagai Setiausaha Agung Badminton Asia (BA) sejak 2023 dan sebagai Ahli Majlis Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk penggal 2021-2025.
Nazmizan pula mencatat nama dalam sejarah olahraga negara apabila memenangi pingat emas dalam acara 100 meter (m) dan 200m pada Sukan SEA Vietnam 2003.
Malah beliau juga layak dan bertanding dalam acara 200m pada Sukan Olimpik Athens 2004.
Jivan pernah mewakili Malaysia dalam pelbagai kejohanan hoki antarabangsa yang berprestij termasuk Piala Sultan Azlan Shah, Piala Asia dan Piala Dunia Remaja.
Beliau juga adalah ahli pasukan hoki kebangsaan yang meraih pingat gangsa pada Sukan Komanwel Melbourne 2006 dan mencapai tempat kelima pada Sukan Asia ke-15 Doha 2006.