Odegaard mungkin rehat sebulan

Odegaard mungkin rehat sebulan


KAPTEN Arsenal, Martin Odegaard bakal terlepas aksi penting Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Tottenham Hotspur pada Ahad dengan laporan di Norway mengatakan dia mungkin direhatkan selama sebulan.

Lebih memburukkan keadaan, Odegaard dilihat menggunakan topang ketiak semasa menaiki pesawat peribadi – imej yang mengejutkan penyokong Arsenal.

Odegaard mengalami kecederaan buku lali selepas dikasari pemain tengah Austria, Christoph Baumgartner dalam aksi Liga Negara-Negara di Oslo pada Selasa lalu.

Penyokong Arsenal yang berang menyerang akaun Instagram Baumgartner sehingga membuatkan pemain RP Leipzig itu mengemukakan permohonan maaf secara terbuka.

Kecederaan menimpa Odegaard satu tamparan buat Arsenal yang sudah kehilangan Declan Rice (penggantungan) dan pemain baharu, Mikel Merino (cedera) menjelang aksi penting Ahad ini, diikuti perlawanan pertama Liga Juara-Juara menentang Atalanta dan kemudian pertembungan menentang Manchester City pada minggu hadapan.

Selain isu kecederaan, Arsenal juga tidak mungkin berpuas hati dengan pelantikan pengadil, Jarred Gillett untuk derbi London utara di Stadium London.

Gillett telah menyebabkan kemarahan peminat Arsenal selepas gagal mengeluarkan kad merah kepada pemain pertahanan Wolves, Yerson Mosquera kerana mencengkam leher Kai Havertz pada aksi pembukaan musim ini.

Pengadil dari Australia itu juga tidak mengambil tindakan terhadap Mosquera selepas insiden pelik melibatkan Gabriel Jesus.

Mosquera membuat provokasi dengan meraba punggung Jesus yang menyaksikan penyerang Arsenal itu pula dilayangkan kad kuning kerana reaksi marahnya.

Gillett juga merupakan pengadil yang membatalkan gol lewat Havertz semasa perlawanan menentang Aston Villa di Villa Park pada musim lalu.

Pelantikannya bermakna dia akan mengendalikan dua daripada empat perlawanan pertama Arsenal musim ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top