Kuala Lumpur: Kudapan manis, Kunafa dari Timur Tengah yang mendapat tempat di kalangan masyarakat sejak kebelakangan ini memberi ilham buat pempengaruh dan usahawan muda popular, Ojen Aiwahhh tampil dengan jenama sendiri.
Tampil jenama Kunafa Aiwahhh yang berpaksikan tekak orang Melayu diperkenalkan Ojen atau nama sebenarnya Mohd Ruzain Ahda Mohd Rosli sejak tiga tahun lalu.
Sekalipun tidak mempunyai tidak mempunyai kios atau cawangan kedai tertentu setakat ini namun pihaknya sentiasa memastikan penyediaan kudapan yang terbaik dan berkualiti.
Kata Ojen, pasukannya akan turun padang ke serata negeri untuk memenuhi hajat dan keinginan mereka yang ingin makan kunafa berkenaan.
“Lalu, apabila hanya ibu pejabat saja yang menjualnya, saya boleh fokus 100 peratus menjaga aspek kualiti dan kuantiti pengeluaran kunafa,” katanya.
Disifatkan sebagai perintis usahawan kunafa dengan elemen tekak Melayu, Ojen berkata idea berniaga itu terlintas ketika belajar di Yaman.
“Empat tahun di Yaman dan setahun di Mesir, Saya lihat kunafa menjadi makanan harian dan pencuci mulut kegemaran. Di tanah Arab lagi, saya sudah pasang niat, balik ke Malaysia memang kena jual kunafa.
“Lucunya, ada ramai penjual tempatan cuba meniru konsep saya. Termasuklah di kalangan penjual orang Arab. Saya lihat ramai yang mengambil inspirasi.
“Saya jadi bangga konsep ini diterima di kalangan masyarakat dan penjual kunafa. Lagipun saya tak mampu nak jual kepada lebih 33 juta rakyat di negara kita. Biarlah sama-sama cari rezeki. Syukur, Allah SWT sudah beri lebih rezeki lebih untuk saya,” katanya.
Bermula dengan perisa asli di pasaran, ia berevolusi menjadi fenomena hingga menjadi variasi sebanyak tujuh pilihan perisa lain termasuklah Red Velvet, Dark Indulgence, Lumut Cheese, Biscoff, Choc Oreo dan Hazelnut Nutella.
Seterusnya, baru-baru ini hadir pula perisa kelapan, Madu 3 berasaskan emping jagung yang dilancarkan secara kolaborasi bersama teman baiknya, pempengaruh dan usahawan kontroversi, Cik Epal.
Ditanya Ojen mengenai kerjasama itu yang dilihat seperti menangguk di air keruh di atas kisah panas keretakan rumah tangga ‘bestie’nya, bekas penuntut bahasa Arab di Yaman itu tidak melatah.
“Kalau ada yang kata kerjasama ini cuba ambil kesempatan fasal cerita itu, saya kurang bersetuju. Mungkin ia hanya kebetulan. Apa yang saya boleh tekankan kerjasama ini lebih kepada menolong antara satu sama lain.
“Saya sendiri bersimpati dengan apa yang berlaku dalam kisah rumahtangganya. Cik Epal sendiri turut membantu menyebarluas jenama kunafa Aiwahhh.
“Sebagai sahabat, saya tak mahu hanya muncul pada waktu senang. Biarlah ketika susah juga. Dapat juga saya kongsi rezeki dengannya sekali gus dia boleh meneruskan survival kehidupan solo bersama anak. Dulu dia ada tangan untuk dipimpin (merujuk kepada suami), tapi kini sebagai ibu tunggal,” kata Ojen.
Tambah pelantun lagu Hubb itu lagi, idea kolaborasi sudah dirancang lama.
“Bukan tiba-tiba saja nak keluarkan perisa Madu 3 ini. Nak keluarkan mana-mana perisa baharu perlu ada R&D (penyelidikan dan pembangunan).
“Tambah pula saya tak pernah berkolaborasi dengan mana-mana artis atau pempengaruh. Jadi kenapa tidak saya tampilkan Cik Epal saja untuk kolaborasi sulung ini,” katanya.
Tambah Ojen, pemilihan perisa Madu 3 juga bukan gimik dan tiada kaitan dengan tempias rumah tangga Cik Epal.
Sementara itu, Cik Epal atau nama sebenar, Nor Munirah Mahmud optimis dengan kolaborasi itu.
“Secara jujurnya saya bukan jenis bekerjasama dengan sembarangan orang. Saya lebih selesa berkolaborasi dengan orang yang sudah dikenali. Macam Ojen memang kami sudah lama kenal. Dia pun jenis yang merendah diri, happy go lucky dan senang berurusan.
“Saya sendiri yakin 100 peratus dengan perniagaan kunafanya. Kunafa Aiwahhh antara ‘dessert’ yang sudah lama viral dan ‘mendonia’ ke hari ini. Tipulah lah kalau kata tak pernah nampak Kunafanya jadi ‘fyp’ di TikTok. Saya rasa dari dulu kalau buka gerai jualannya, memang penuh dibanjiri peminat kunafanya sampai satu Malaysia ada.
“Jadi waktu Ojen ajak berkolaborasi, memang saya teruja. Ditambah pula nak buat perisa Madu 3 ini, saya sendiri nampak yang ia akan meletup. Waktu kami buat R&D, terus saya bersetuju untuk sama-sama ‘mendonia’,” kata Cik Epal.
Ditanya mengenai kehidupan sekarang, Cik Epal meluahkan perasaan reda dengan ujian diterima.
“Alhamdulillah saya bersyukur sebab Allah uji saya pada waktu yang tepat. Saya juga bersyukur waktu sebegini, masih ada sahabat lama dan baru yang ikhlas menolong saya. Ada yang tak henti-henti memberi motivasi diri pada saya untuk meneruskan kehidupan demi anak dan masa depan yang lebih terang.
“Saya sudah selesa seorang diri buat masa ini. Cukup ada anak menjadi asbab untuk saya terus tersenyum. Saya akan terus berjuang dan takkan kembali dengan kesilapan lalu dengan lelaki yang sama. Untuk kembali balik kepada bekas suami itu, saya rasa tak mungkin. Tapi saya takkan sesekali memisahkan anak dengan bapa mereka.
“Apa terjadi, bekas suami tetap bapa kepada anak saya dan dia pernah menjadi bapa yang baik. Itu sahaja terima kasih,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd