OKU merangkak dirikan solat

OKU merangkak dirikan solat



hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Ampang: “Hanya fizikal tidak sempurna, tetapi akal fikiran masih waras jadi saya perlu solat kerana ia perkara wajib (untuk umat Islam). Saya hanya merangkak kerana tidak boleh berjalan sempurna. Walaupun kadang-kadang lutut sakit dan melecet, saya harap itu menjadi saksi di sana nanti dan dapat menghapus dosa,” ujar Mohammad Saad Habizal, 41, orang kurang upaya (OKU) fizikal yang menghidap palsi serebrum (CP) dan masalah tulang belakang bengkok yang mendapat perhatian di TikTok susulan perkongsian video mengambil wuduk dan menunaikan solat Maghrib di Surau Bukit Mulia di sini.

Video dikongsikan pengguna TikTok @jarirharun itu meraih 3.1 juta tontonan serta lebih 10,000 komen netizen yang mengakui perkongsian itu menjentik hati nurani mereka melihat keupayaan Mohammad Saad menyahut ‘seruan’ Illahi melebihi kekurangan dirinya meskipun pergerakan terbatas.

Mohammad Saad berkata, kehidupannya berubah selepas mengalami demam panas ketika berusia tiga tahun, namun ibu bapanya mengajar berdikari sejak kecil dan mengutamakan solat.

“Sejak kecil mak dan ayah selalu pesan solat itu wajib dan saya memang tidak sempurna tetapi solat tetap wajib, malah akal fikiran saya juga waras. Saya hanya boleh solat duduk kerana tidak boleh berdiri dengan baik terlalu lama.

“Kehidupan kita milik Allah SWT jadi sebagai hamba-Nya kita kena ikut perintah Allah. Walaupun saya menjaja kerepek di merata-rata tempat saya tetap cuba solat jemaah di masjid atau surau,” katanya ketika ditemui di Surau Al-Ikhlasiah di Kampung Datuk Keramat di sini.

Katanya, dia yang masih bujang tinggal bersama kakaknya di Taman Desa Keramat di sini mengakui keadaan dirinya yang serba kekurangan itu bukan penghalang hidup berdikari dan menguruskan diri.

“Saya tidak bawa tongkat kerana menunggang motosikal dan mahu cari rezeki sendiri kerana tak mahu bebankan keluarga. Di surau atau masjid saya uruskan diri sendiri tetapi kalau tidak boleh saya minta bantuan. Alhamdulillah ramai sudi bantu, malah ada sudi dukung saya,” katanya.

Menurutnya, selepas bersara sebagai pembantu operasi Majlis Amanah Rakyat (Mara) dia tidak hanya duduk di rumah sebaliknya mahu berdikari dengan menjaja kerepek di sekitar Lembah Klang dengan motosikal roda tiga.

“Saya jaja di merata-merata seperti sekitar Ampang, Kajang, Bangi, Semenyih dan Cheras. Kalau saya sihat dan berdaya saya berniaga setiap hari, kalau tidak rehat saja kerana bahagian belakang saya selalu sakit.

“Sepatutnya saya perlu jalani pembedahan tulang belakang, tetapi ditangguhkan dahulu kerana berisiko. Doktor cakap kalau terhentak atau terjatuh saya berisiko lumpuh, sebab itu saya lebih berhati-hati,” katanya.

Berhubung perkongsian video mengenai dirinya, Mohammad Saad berkata, video itu dirakam seorang lelaki ketika dia singgah di Surau Bukit Mulia di sini, baru-baru ini.

“Ketika itu kaki saya kejang kerana terlalu lama berada di atas motosikal. Saya minta bantuan lelaki itu pimpin saya ke tandas dan sudah masuk waktu solat jadi saya berwuduk untuk menunaikan solat Maghrib.

“Saya hanya tahu video itu tular selepas rakan beritahu dan walaupun segan tetapi saya anggap ia positif serta bukan mahu menunjuk bagus atau meraih simpati.

“Sekiranya ia membawa mesej baik kepada orang lain saya bersyukur dan ia juga boleh memberi kesedaran untuk solat berjemaah di surau atau masjid,” katanya memberitahu keluarga mengambil berat mengenainya dan ibu bapanya masih ada serta kini menetap di Jeneram.

Katanya, dia bersyukur apabila kerap bertemu ramai individu baik hati yang sudi membantu dan paling diingati adalah gurunya ketika di Sekolah Kebangsaan Taman Keramat pada 1995 iaitu Cikgu Raihan yang kini terputus hubungan.

“Cikgu lelaki itu sangat baik dan selalu dukung saya ke kelas ketika berusia 12 tahun dan saya teringin nak jumpa Cikgu Raihan,” katanya turut meminati ceramah Ustaz Wadi Annuar dan berharap dapat bertemu pendakwah itu.

Bagi yang ingin membantu Mohammad Saad termasuk ada maklumat mengenai Cikgu Raihan boleh menghubungi lelaki itu di talian 019-230 3539.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top