Olimpik Paris: Keluarga nyalakan semangat Ariana Nur Dania

Olimpik Paris: Keluarga nyalakan semangat Ariana Nur Dania


KEHADIRAN keluarga telah menyemarakkan lagi semangat pemanah muda negara, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi apabila turun beraksi dengan sasaran memperbaiki rekod kebangsaannya dalam acara recurve wanita Sukan Olimpik Paris 2024, esok.

Atlet berusia 19 tahun membuat penampilan sulung Olimpik bakal beraksi pada pusingan penentuan ranking individu di Invalides, berlatarkan monumen bersejarah dan muzium Perancis.

Bercakap semasa sesi latihan rasmi di venue pertandingan, Ariana Nur Dania berkata, kesemua ahli keluarganya telah tiba di sini pada Selasa untuk memberikan sokongan kepadanya.

“Kehadiran ibu bapa, kakak serta abang telah meningkatkan semangat saya untuk capai keputusan yang lebih baik kerana mereka datang dari jauh. Saya mengambilnya sebagai motivasi buat saya esok.

“Harapan untuk pecahkan rekod kebangsaan lagi itu ada, tetapi tidak terlalu tertekan kerana tahu prestasi semasa dan kaedah latihan. Kalau ada rezeki, kita (pasukan memanah wanita) adalah pingat, tapi yang penting kita dah beri prestasi terbaik kita,” katanya.

Seramai 64 pemanah yang layak bagi acara recurve akan beraksi dalam pusingan ranking esok untuk menentukan kedudukan bagi pusingan kalah mati yang bermula pada Selasa depan.

Pemanah yang menduduki ranking teratas akan bertemu dengan pemanah di kedudukan tercorot pada pusingan kalah mati menuju ke final.- Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top