MICHAEL Olise mencipta sejarah baharu Piala Dunia apabila memecahkan rekod bantuan gol yang pernah dipegang legenda Brazil, Pele selama 56 tahun.
Pemain tengah serangan Perancis itu menghasilkan dua bantuan gol ketika membantu Kylian Mbappe meledak jaringan dalam aksi penentuan tempat ketiga menentang England di Miami, sekali gus mengumpul tujuh bantuan gol sepanjang Piala Dunia 2026.
Jumlah itu menyaksikan Olise mengatasi rekod Pele yang mencatat enam bantuan gol ketika membantu Brazil menjuarai Piala Dunia 1970 di Mexico, sekali gus muncul pemain dengan bantuan gol terbanyak dalam satu edisi kejohanan dunia.
Kejayaan itu mengangkat nama Olise sebaris pemain yang mencipta sejarah di Piala Dunia, walaupun Perancis akhirnya gagal membawa pulang pingat gangsa selepas tewas 4-6 kepada England.
Prestasi pemain Bayern Munich itu menjadi antara cerita menarik kempen Perancis apabila beliau bukan sahaja menjadi pencipta peluang utama, malah membentuk gandingan berbahaya bersama Mbappe sepanjang kejohanan.
Olise kini hanya ketinggalan lima bantuan gol di belakang Lionel Messi yang memegang rekod bantuan gol terbanyak sepanjang sejarah Piala Dunia.
Dengan usia yang masih muda, pemain berusia 24 tahun itu berpeluang mencabar rekod Messi sekiranya terus diberi peluang beraksi pada Piala Dunia akan datang.






