Olmo wira Barcelona

Olmo wira Barcelona


Barcelona: Jurulatih Barcelona, Hansi Flick gembira apabila keputusan melakukan penggiliran pemain membuahkan hasil selepas pasukannya meneruskan persaingan dalam perebutan gelaran LaLiga dengan kemenangan 1-0 ke atas Mallorca hasil jaringan Dani Olmo, awal pagi tadi.

Menjelang final Piala Raja Sepanyol menentang seteru tradisi Real Madrid, pada Sabtu, Flick merehatkan Jules Kounde, Raphinha, Pau Cubarsi dan Frenkie De Jong di bangku simpanan dan keputusannya itu tidak menghampakan.

Kemenangan itu melonjakkan Barca, yang sedang memburu kejuaraan treble, ke tangga teratas carta LaLiga dengan 76 mata, manakala Real Madrid yang akan menentang Getafe awal pagi esok, ketinggalan tujuh mata tetapi mempunyai satu perlawanan dalam tangan.

“Saya rasa kami bermain dengan baik, kami mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan lebih banyak gol dan menang dengan margin lebih besar, tetapi saya tetap gembira,” kata Flick kepada pemberita.

“Penjaga gol mereka, Leo Roman, bermain dengan sangat baik dan benar-benar menunjukkan aksi cemerlang. Kami harus mengakui itu. Semua pemain bertahan dengan baik ketika menentang Mallorca dan itu menjadikan kemenangan ini lebih bermakna.

“Saya rasa kami membuat kurang kesilapan berbanding perlawanan sebelum ini dan secara keseluruhan kami bermain sangat baik. Ini tugas saya (untuk melakukan penggiliran pemain), saya perlu lakukannya pada waktu musim ini di mana semua orang terjejas oleh jadual yang padat. Perlawanan seterusnya sentiasa paling penting dan kami akan menguruskannya begitu.”

Barcelona akan berdepan Real Madrid dalam final Piala Raja Sepanyol, Sabtu ini sebelum menentang Inter Milan pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) minggu depan, tanpa penyerang utama mereka Robert Lewandowski yang diketepikanbeberapa minggu akibat kecederaan otot kaki.

Selepas perlawanan El Clasico pada Sabtu di Seville, Barca menentang pasukan di tangga tercorot, Valladolid, sebelum berdepan Real Madrid sekali lagi dalam aksi LaLiga yang berkemungkinan menentukan kejuaraan pada 11 Mei.

“Barça dan Real Madrid pasukan hebat dan memang normal jika kejuaraan diputuskan antara pasukan terbaik. Kami ada dua lagi perlawanan menentang mereka dan kami mahu menang kedua-duanya, piala dan liga dan kami perlu kalahkan mereka. Ia tidak akan mudah tetapi kami perlu fokus,” kata Flick.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top