Andre Onana mahu terus kekal di Manchester United walaupun berdepan prestasi tidak memuaskan. Foto Agensi
PENJAGA gol Manchester United, Andre Onana dilaporkan mahu terus kekal di kelab itu walaupun berdepan prestasi tidak memuaskan dan beberapa kesilapan yang dilakukan di atas padang.
Ketua jurulatih baharu United, Ruben Amorim dikatakan mahu mendapatkan penjaga gol baharu pada jendela perpindahan musim panas ini.
Namun begitu, Onana yang sudah tampil dalam 86 perlawanan untuk United, tetap setia dengan kelab itu dan tidak berhasrat untuk berpindah.
Kontrak Onana bersama United masih berbaki sehingga 2028, tetapi beberapa kesilapannya dalam beberapa perlawanan terakhir telah mencetuskan spekulasi mengenai masa depannya.
United dijangka menambah seorang penjaga gol baharu bagi memperkuatkan skuad Amorim, terutama selepas Tom Heaton dijangka bersara sebaik sahaja kontraknya tamat pada Jun ini.
Sementara itu, penjaga gol kedua, Altay Bayindir, mungkin meninggalkan kelab sekiranya dia mencari lebih banyak minit permainan menjelang Piala Dunia 2026.
United juga berdepan risiko kehilangan Onana untuk sementara waktu kerana Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) bakal berlangsung pada Disember dan Januari musim 2025-26.
Kejohanan itu bermula lebih awal iaitu pada 18 Disember, yang berkemungkinan besar menjejaskan jadual perlawanan United ketika tempoh sibuk musim perayaan.
Onana sebelum ini telah melakukan tiga kesilapan yang membawa kepada gol dalam aksi Liga Perdana Inggeris ketika United tewas kepada Nottingham Forest, Wolves, dan Brighton.
Dia juga dipersalahkan atas dua gol yang dijaringkan Ipswich Town minggu lalu.
Statistik menunjukkan Onana berada di tangga ke-16 dalam senarai penjaga gol dengan kadar penyelamatan terbaik daripada 22 penjaga gol Liga Perdana Inggeris.