Onn Hafiz, Ahmad Maslan dilantik Pengarah, Timbalan Pengarah PRK DUN Mahkota untuk BN

Onn Hafiz, Ahmad Maslan dilantik Pengarah, Timbalan Pengarah PRK DUN Mahkota untuk BN


BATU PAHAT – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan masing-masing dilantik sebagai pengarah dan timbalan pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota untuk Barisan Nasional (BN).

Mengumumkan pelantikan itu, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Ketua Bahagian UMNO Kluang, Datuk Md Jais Sarday dilantik sabagai pengarah operasi manakala Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai koordinator untuk PRK berkenaan.

“PRK DUN Mahkota tidak akan mengikut acuan yang sama (seperti DUN Nenggiri) kerana landskap (politik) dan demografi yang berbeza,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan pentauliahan kepada Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, yang meninggal dunia pada 2 Ogos ketika dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata DUN Mahkota mempunyai jumlah pengundi yang besar iaitu 66,000 pengundi termasuk 52 peratus komposisi pengundi muda serta lebih 4,000 tentera dan 400 polis.

Mengulas mengenai calon bagi PRK itu, Presiden UMNO itu berkata, beliau telah menerima senarai calon dan akan menyenarai pendek nama-nama calon setelah berbincang dengan UMNO Bahagian Kluang dan UMNO Negeri Johor.

Beliau berkata, calon PRK berkenaan akan dipilih berdasarkan kriteria ‘acceptability’ (dapat diterima), ‘winnability’ (boleh menang) dan ‘likability’ (disenangi) bagi memastikan kemenangan BN di DUN Mahkota.

Mengenai kemenangan BN di PRK DUN Nenggiri, Ahmad Zahid berkata kemenangan berkenaan adalah manifestasi kepada penerimaan UMNO dan BN di Kelantan.

“Kita ketahui Kelantan merupakan negeri yang dikuasai oleh PAS begitu lama, lebih daripada tiga dekad, namun relevansi UMNO dan BN di Kelantan harus diterima sebagai satu hakikat,” katanya.

Pada PRK DUN Nenggiri semalam, calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menang dengan majoriti besar 3,352 undi selepas memperoleh 9,091 undi dan menewaskan pencabarnya calon PAS mewakili Perikatan Nasional (PN) Mohd Rizwadi Ismail yang meraih 5,739 undi. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top