am@hmetro.com.my
Melaka: Pihak berkuasa menahan 11 individu disyaki mengamalkan ajaran Al-Arqam dan memiliki pelbagai bahan penerbitan berkaitannya yang difatwakan haram di negeri ini serta menyelamatkan 19 kanak-kanak menerusi operasi bersepadu ‘Op Global’, hari ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, tangkapan dibuat hasil serbuan di 19 premis disyaki mempunyai kaitan dengan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd di seluruh negeri ini.
Menurutnya, ia terdiri daripada tiga rumah persendirian, dua rumah kebajikan dan 14 premis perniagaan di seluruh Melaka dengan pecahan 10 di Melaka Tengah, Alor Gajah (lapan) dan sebuah di Jasin.
Beliau berkata, operasi bermula seawal 5 pagi hingga 5 petang dijalankan 72 anggota 10 agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kementerian Dalam Negeri(KDN) Dan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Seramai 11 individu dewasa ditahan membabitkan tiga lelaki dan lapan perempuan berusia 18 hingga 45 tahun yang disyaki masih mengamalkan ajaran Al-Arqam serta memiliki bahan penerbitan berkaitan dengan ajaran Al-Arqam yang sudah diharamkan melalui fatwa yang diwartakan di Melaka pada 1994 dan 2006.
“Kesalahan berkenaan diperuntukkan di bawah Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau dipenjara tidak melebihi 36 bulan atau kedua-duanya sekali.
“Semua individu ditahan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut manakala kanak-kanak di bawah 18 tahun dibawa ke Rumah Jagaan seliaan JKM,” katanya dalam kenyataan petang ini.
Rahmad berkata, sejumlah 285 barang kes turut dirampas termasuk 12 gambar pengasas Al Arqam iaitu Ashaari Muhammad dan 138 buku berkaitan Al-Arqam yang diharamkan oleh Fatwa Negeri Melaka.
“Buku yang disita termasuk Aurad Muhammadiyah selain jadual Zikir Aurad Muhammadiyah, diari catatan ajaran Al-Arqam, 33 unit cakera padat berkaitan ajaran Al-Arqam, tujuh telefon bimbit, komputer riba, dua set komputer, pemacu keras luaran, peralatan wifi dan 87 unit barang lain termasuk serban Al-Arqam,.
“JAIM bertindak mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan dalam Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002 dan Enakmen Pengawalan Sekolah Agama Islam (Negeri Melaka) 2002,” katanya.
Dalam pada itu Rahmad turut menasihatkan masyarakat Islam khususnya Melaka supaya menjauhi ajaran sesat Al-Arqam atau ajaran seumpamanya yang diwartakan sesat di Melaka.
© New Straits Times Press (M) Bhd