am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Seorang lelaki nekad merempuh sekatan jalan raya (SJR) dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), malam tadi di Jalan Sultan Mahmud dan memecut laju menghala Jalan Seri Budiman bagi mengelak ditahan.
Dia yang juga penjawat awam berusia 41 tahun bagaimanapun hanya sempat melarikan diri sejauh lima kilometer (km) dan ‘menyerah diri’ selepas dikejar anggota Unit Ronda Bermotor JPJ berhampiran persimpangan lampu isyarat Kampung Simpang Tok Ku.
Sebelum itu, lelaki terbabit dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Ibai menghala bandar Kuala Terengganu bersama dua lagi rakan yang menunggang motosikal berasingan.
Apabila tiba di SJR itu, dua rakannya mematuhi arahan, namun dia yang menunggang Yamaha RXZ sebaliknya memecut laju dan mendakwa takut kerana lesen memandu tamat tempoh serta tiada cukai jalan.
Pengarah JPJ Terengganu, Mohd Zamri Samion yang mengetuai operasi berkata, pemeriksaan lanjut terhadap motosikal lelaki itu pula disyaki terdapat keraguan pada nombor chasis.
“Motosikal itu disita untuk tindakan lanjut,” katanya memaklumkan JPJ tidak kompromi terhadap sebarang perlakuan melanggar undang-undang.
Menurutnya, penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan khususnya terhadap penunggang motosikal dalam kalangan remaja yang melakukan pengubahsuaian melampau.
“Op Motosikal ini kita memfokuskan lebih kepada isu-isu tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, penunggang di bawah umur, tiada lesen kenderaan motor (LKM) dan paling kritikal pengubahsuaian motosikal bagi menukar kelajuan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






