Op Naga penting tangkis ancaman ceroboh laut

Op Naga penting tangkis ancaman ceroboh laut



harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sejumlah 619 tangkapan membabitkan Op Naga dicatatkan di perairan seluruh negara sepanjang tahun lalu, kata Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah.

Beliau berkata, nilai keseluruhan lucut hak, denda dan lelong adalah berjumlah RM 141 juta.

“Op Naga bukan sekadar operasi biasa tetapi secara bersepadu antara pasukan keselamatan dan agensi penguat kuasa dalam menangkis ancaman pencerobohan laut khususnya di Laut China Selatan.

“Pencerobohan oleh kapal penangkapan ikan asing yang mengancam kedaulatan, keselamatan dan sumber ekonomi negara.

“Nilai keseluruhan tangkapan ini diharapkan dapat memberikan pulangan pelaburan (ROI) sepanjang pelaksanaan Op Naga ini kepada kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, operasi bersepadu berkenaan dilaksanakan bagi membanteras aktiviti penangkapan ikan secara haram yang tidak dilapor dan tidak dikawal selia kerana ia merugikan industri perikanan tempatan.

Katanya, kerjasama antara semua pihak berkaitan penting dalam usaha membanteras aktiviti haram ini secara proaktif.

Op Naga membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jabatan Laut Malaysia (JLM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top