Op Northern Star: Datuk Seri, Datuk ditahan miliki syarikat disenarai Bursa Malaysia

Op Northern Star: Datuk Seri, Datuk ditahan miliki syarikat disenarai Bursa Malaysia


rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ahli perniagaan bergelar Datuk Seri dan Datuk yang ditahan polis kerana disyaki terbabit skim penipuan pelaburan MBI International Group (MBI), mempunyai syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, ketiga-tiga individu itu antara enam ditahan menerusi Op Northern Star yang dilaksanakan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman dari 26 Julai hingga 15 Ogos lalu.

Menurutnya, penahanan kesemua suspek termasuk seorang wanita berusia antara 40 hingga 50-an itu susulan siasatan lanjut yang dijalankan terhadap kes penipuan berkenaan.

“Siasatan mendapati ketiga-tiga mereka mempunyai syarikat tersenarai Bursa Malaysia dengan dua Datuk menjalankan perniagaan dalam bidang telekomunikasi dan pemaju perumahan manakala dua lagi suspek adalah penjaga kebun serta akauntan kebun durian.

“Berdasarkan siasatan, mereka berperanan sebagai proksi kepada dalang yang menerima wang daripada luar dengan jumlah yang besar.

“Wang itu digunakan untuk tujuan pembersihan wang (cuci duit) dengan dilaburkan dalam bidang hartanah, pembelian aset, ladang, kebun dan sebagainya,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek direman antara empat hingga 12 hari, namun terdapat suspek yang sudah tamat reman dan dibebaskan dengan jaminan polis.

Namun, katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

“Kita komited untuk meneruskan siasatan secara menyeluruh dan tegas terhadap mana-mana pihak yang disyaki terbabit, sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menyimpan, memindah, menggunakan atau membawa masuk dan keluar wang berasal daripada aktiviti haram,” katanya.

Beliau turut meminta kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan aset atau hasil perolehan haram berkaitan kes penipuan pelaburan MBI untuk tampil memberikan kerjasama kepada polis.

Pada 30 Mei lalu, seramai 17 individu ditangkap susulan kes penipuan pelaburan itu dengan keseluruhan aset dibekukan dan disita RM3.81 bilion.

Tangkapan itu membabitkan usahawan bergelar ‘Tan Sri’ dan ‘Datuk Seri’ yang dipercayai menjadi proksi, selain rakan perniagaan dalam skim penipuan pelaburan itu dengan penahanan dilakukan sekitar Lembah Klang serta utara tanah air menerusi Op Northern Star.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top