Pempengaruh media sosial yang juga usahawan, Aliff Awang atau lebih dikenali sebagai Opai mencuri perhatian apabila mengambil inisiatif menggalakkan pekerjanya bersama-sama khatam al-Quran sepanjang bulan Ramadan.
Kata Opai, dia meminta semua pekerjanya agar sampai awal ke pejabat bagi melaksanakan misi khatam al-Quran sebanyak dua kali pada tahun ini selain melakukan tadarus bersama-sama.
“Inisiatif aku adalah kita datang pukul lapan dan kita cuba tadarus. Walaupun anda semua mungkin tidak berkemampuan nak khatam sendiri, at least kita boleh bertadarus jadi anda semua dapatlah juga pahala khatam.
“Kita akan cuba buat sepanjang Ramadan ini dan kita cuba khatam dua kali. Kalau seorang baca lima muka surat satu hari, akan ambil dalam 30 hingga 40 minit… Kalau lancar mungkin ambil masa sejam sahaja. Satu juzuk anggaran 20 muka surat, jadi kalau lima muka surat maksudnya akan ambil masa 20 minit sahaja.
“Jadi, nanti aku akan beli al-Quran banyak, yang cantik supaya kamu semua lebih bersemangat lagi. Pukul 8 kita akan mengaji sampai pukul 9. Kita akan cuba khatam,” katanya menerusi perkongsian di TikTok.
Menganggap bulan Ramadan adalah bulan al-Quran, inisiatif ini diambil suami kepada Fatin Afeefa ini sebagai usaha untuk membudayakan bacaan al-Quran di kalangan pekerjanya.
“Sebab Ramadan ni dia bulan al-Quran. Wahyu pertama datang bulan Ramadan lepastu, Lailatul Qadr juga jadi pada bulan Ramadan, begitu juga dengan Nuzul al-Quran.
“Jadi Allah pilih bulan Ramadan ni sebagai bulan al-Quran. Jadi kalau setahun kita tak baca al-Quran inilah dia bulan untuk baca dan cuba faham apa mesej Allah SWT nak sampaikan pada kita melalui Nabi,” ujarnya.






