Ops Gasak 2025: Kerajaan nafi tarik subsidi LPG, fokus bendung salah guna

Ops Gasak 2025: Kerajaan nafi tarik subsidi LPG, fokus bendung salah guna


am@hmetro.com.my

Cyberjaya: Kerajaan tidak pernah menarik balik subsidi gas petroleum cecair (LPG), sebaliknya Ops Gasak 2025 dilaksanakan bagi mengekang penyalahgunaan gas bersubsidi oleh industri komersial yang tidak layak, tegas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan operasi berkenaan bukan membabitkan peraturan baharu, sebaliknya penguatkuasaan undang-undang sedia ada yang sudah lama menetapkan LPG bersubsidi hanya untuk pengguna domestik dan pihak layak sahaja.

“Kerajaan tidak tarik subsidi. Yang kedua, ini bukan peraturan baharu tetapi undang-undang sedia ada yang kita kuatkuasakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Akses Pasaran Runcit dan Majlis Penghargaan Usahawan di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, kementeriannya sebelum ini sudah memberi ruang kepada pengusaha industri kecil, termasuk dobi, untuk membuat peralihan secara berperingkat kepada LPG komersial, namun masih ada yang terus menyalahgunakan gas bersubsidi bagi tujuan perniagaan.

“Sudah lama diberi peluang. Ramai pengusaha dobi sebenarnya sudah menggunakan LPG komersial.

“Tidak adil jika tindakan tidak diambil terhadap mereka yang masih melanggar peraturan dan menggunakan LPG bersubsidi secara tidak sah,” katanya.

Ops Gasak 2025 adalah sebahagian daripada kerangka Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (Kita Gempur) yang digerakkan kerajaan bagi memastikan bantuan dan subsidi hanya dinikmati oleh golongan yang benar-benar layak.

Harian Metro melaporkan beberapa pengusaha dobi memohon kerajaan menangguhkan pelaksanaan Ops Gasak terhadap mereka yang masih menggunakan LPG bersubsidi kerana mendakwa belum bersedia untuk beralih ke LPG komersial.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top