mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 101 kenderaan termasuk 90 motosikal disita dan 234 tindakan diambil atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Pemandu Warga Asing (Ops Pewa) Siri 11, hari ini.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) melaksanakan operasi itu sebagai usaha memastikan keselamatan dan pematuhan undang-undang dalam kalangan pemandu warga asing di jalan raya.
Operasi yang diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ WPKL Raja Nursyuhaidah Raja Azmi ini selaras dengan Operasi Khas Motosikal yang dilancarkan secara rasmi pada 1 November lalu memfokuskan penguatkuasaan terhadap penunggang motosikal di seluruh negara.
JPJ dalam kenyataannya berkata, sepanjang operasi, 1,458 kenderaan diperiksa, dengan 243 tindakan diambil terhadap pelbagai kesalahan.
“JPJ turut menyita 101 kenderaan termasuk 90 motosikal. Antara kesalahan utama yang dikenal pasti adalah tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, dan tiada insurans.
“Pemeriksaan ini turut membabitkan 78 pemandu warga asing dari beberapa negara, termasuk Pakistan, Indonesia, Bangladesh, dan Myanmar,” katanya, hari ini.
Menurut JPJ, langkah ini diambil bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya membabitkan pemandu warga asing yang tidak mematuhi undang-undang.
“Penunggang dan pemilik motosikal di seluruh negara diingatkan untuk sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, termasuk memakai topi keledar, mempunyai lesen memandu dan LKM sah, serta mematuhi peraturan lalu lintas yang lain.
“JPJ menyeru semua pengguna jalan raya, khususnya warga asing dan penunggang motosikal, untuk memastikan kepatuhan terhadap undang-undang demi keselamatan bersama,” katanya.
Turut hadir dalam operasi itu ialah Ketua Unit Operasi, Rahalim Mohamed dan pegawai serta anggota JPJ WPKL.
© New Straits Times Press (M) Bhd