Ops TBC: 10 kematian dalam tempoh tujuh hari

Ops TBC: 10 kematian dalam tempoh tujuh hari


am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Sebanyak 10 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu dalam tempoh tujuh hari Ops Tahun Baharu Cina (TBC) bermula 13 hingga 19 Februari lalu dengan sebahagian besar membabitkan penunggang motosikal.

Pengarahnya, Zamri Samion berkata, situasi itu membimbangkan dan memerlukan penguatkuasaan lebih tegas terhadap penunggang motosikal.

“Kira-kira 60 peratus kematian di jalan raya membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal… 10 kematian dalam masa tujuh hari adalah angka yang sangat membimbangkan.

“Kita tidak akan berkompromi dalam isu pematuhan undang-undang jalan raya terutama bagi motosikal kerana risiko kemalangan yang tinggi,” katanya selepas Operasi Khas Motosikal 2026 sempena Tahun Baharu Cina di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini, malam tadi.

Operasi berkenaan memberi tumpuan terhadap kesalahan kritikal seperti tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, memandu bawah umur serta pengubahsuaian motosikal secara ekstrem.

Beliau berkata, sejak Januari hingga semalam, pihaknya mengeluarkan sebanyak 4,099 saman, larangan penggunaan kenderaan (179), notis sita (117) dan panggilan temu siasat (496).

“Kesalahan cukai jalan tamat tempoh paling tinggi iaitu 896 kes, diikuti tiada perlindungan insuran (885 kes), tiada lesen memandu (871 kes), memandu bawah umur (79 kes) dan 89 kes membabitkan pengubahsuaian motosikal secara ekstrem.

Selain itu, katanya, pihaknya turut mengambil tindakan terhadap penunggang yang tidak memakai topi keledar (371 kes), melanggar lampu isyarat (78 kes) serta menggunakan telefon bimbit semasa memandu (satu kes).

Menurutnya, dalam tempoh itu, sebanyak 13,774 kenderaan diperiksa dengan 1,797 daripadanya dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.

Zamri berkata, aktiviti lumba haram dalam kalangan golongan muda turut menjadi fokus utama kerana ia bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah pengguna jalan raya lain.

“Usaha mengurangkan kadar kematian dan kemalangan jalan raya memerlukan kerjasama semua pihak dan kesedaran masyarakat terhadap keselamatan jalan raya perlu dipertingkatkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top