PERBADANAN Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yakin dapat mencapai nilai jualan mencecah RM3 bilion di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia di Shanghai (MIHAS@Shanghai) 2025, yang berlangsung dari 5 hingga 10 November.
Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, walaupun angka itu melebihi sasaran awal RM2.5 bilion, namun beliau yakin ia boleh dicapai berdasarkan prestasi hari pertama dan kedua ekspo itu selain disokong oleh kehadiran pembeli premium yang dipadankan dengan pempamer dari Malaysia.
“Kita lihat ia bukan sukar kerana MATRADE berjaya mencari pembeli yang mempunyai kemampuan dan reputasi pembelian yang kukuh. Daripada 100 pembeli antarabangsa, 20 pembeli premium yang mempunyai gabungan perolehan RM993 bilion.
“MATRADE mengambil pendekatan yang rapi, kita memperhalusi semua aspek, jadi bila mana berlakunya pertemuan antara pembeli dan syarikat dari Malaysia, ia akan menjadikan pertemuan yang sangat memberi ganjaran kepada perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS),” katanya.
Reezal Merican berkata, Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) di bawah MATRADE akan memastikan padanan perniagaan yang berkualiti tinggi.
Reezal Merican berkata, INSP membabitkan langkah penilaian terlebih dahulu dan kemudian pertemuan atas talian melalui 47 pejabat perdagangan MATRADE di seluruh dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd





