Optimumkan ruang

Optimumkan ruang



nurul_husna@hmetro.com.my

TANGGA biasanya sekadar ruang kecil namun penataan tidak kurang penting untuk tampil menarik dan sempurna.

Dalam menata hias ruang tangga, pemilik boleh ketengahkan kreativiti termasuk memilih untuk idea hiasan dindingnya.

Berikut beberapa idea boleh digunakan pembaca untuk ruang tangga tampil berbeza.

1. Wujudkan mini galeri pada dinding tangga

Jika dihitung seawal anak tangga pertama hingga ke anak tangga teratas, bukaan dinding untuk wujudkan mini galeri cukup luas.

Boleh pamerkan foto keluarga mengikut kronologi dari kecil sehinggalah dewasa atau ruang pameran untuk sudut kreatif anak anda.

Setidak-tidaknya ia boleh menjadi ruang nostalgia atau kenangan membahagiakan setiap kali melewati ruang terbabit.

2. Hias dinding dengan panel dinding atau kertas dinding menarik

Panel dinding boleh mewujudkan kesan lebih dramatik kerana efek tiga dimensi pada dinding selalu diabaikan seperti yang kerap berlaku pada ruang tangga.

Ini juga boleh menambah seri ruang rumah kerana selalunya ruang tangga terletak pada ruang tengah rumah.

Langkah menambah sentuhan dekorasi seperti panel dinding dengan rekaan menarik dapat mencantikkan kediaman anda.

Jika rasa tidak mahu berlebihan, kertas dinding juga antara kaedah boleh digunakan untuk menghias ruang terbabit.

3. Hiaskan dengan tumbuhan hiasan

Mahu wujudkan suasana malar hijau dalam rumah tidak semestinya perlu membawa pasu besar atau memenuhi ruang tamu dengan pelbagai tumbuhan dalam rumah.

Memadai dengan hanya menggunakan sudut tertentu seperti dinding tangga mahupun sudut anak tangga dengan tumbuhan hiasan sesuai.

Ia boleh mewujudkan suasana seperti menyusuri denai meskipun berada dalam rumah.

4. Hiaskan anak tangga mengikut konsep atau motif tema ruang dalam kediaman

Anak tangga itu sendiri boleh menjadi elemen ditonjolkan dan ia turut membantu meningkatkan visual pada ruang terbabit.

Boleh juga tambah elemen bagi meningkatkan tahap keselamatan seperti pencahayaan menerusi lampu pada anak tangga.

Tidak hanya meningkatkan fungsi tangga, malah ia membantu penggunaan ruang secara optimum.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top