am@hmetro.com.my
Gua Musang: Terpaksa menempuh perjalanan hampir 100 kilometer (km) antara cabaran dihadapi oleh masyarakat Orang Asli di pedalaman bagi membuat tuntutan Sumbangan Asas Rahmah (Sara).
Malah, ada antara mereka membuat tuntutan setiap dua bulan atau mengirim MyKad kepada rakan untuk membeli barangan keperluan bagi menjimatkan kos menyewa pacuan empat roda.
Seorang penduduk Kampung Jader, Pos Simpor, Merry Bah Kuasan, 42, berkata, jika ingin keluar daripada penempatan terbabit, mereka terpaksa menyewa pacuan empat roda dengan harga antara RM600 hingga RM700 atau menggunakan motosikal.
Katanya, dia tidak menafikan pemberian Sara sangat membantu meringankan beban masyarakat Orang Asli di pedalaman yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Adakalanya kami hanya kirim MyKad kepada rakan-rakan yang ingin keluar untuk membuat urusan lain, bukan hanya dengan tujuan membeli barangan keperluan asas.
“Ada juga yang membuat tuntutan terkumpul dua bulan supaya tidak terlalu kerap keluar ke bandar Gua Musang kerana terpaksa menyewa pacuan empat roda.
“Kami tinggal di pedalaman, adakala agak sukar untuk keluar dan membuat tuntutan Sara ini, namun sumbangan ini sangat membantu meringankan beban kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di Pos Simpor di sini.
Bagi Jina Seman, 44, sejak menerima Sara pada April lalu, dia membuat tuntutan setiap bulan untuk membeli barangan keperluan terutama beras dan telur.
Katanya, dengan pendapatan yang tidak menentu, Sara banyak membantu meringankan beban keluarganya.
“Pada bulan lalu, saya membuat tuntutan pada hujung bulan di Bandar Gua Musang. Walaupun terpaksa menempuh perjalanan hampir 100 km. Suami keluar ke Bandar Gua Musang dengan menggunakan motosikal.
“Sebelum ini, kami hanya bergantung kepada tanaman sara hidup seperti sayuran dan padi bukit untuk meneruskan kelangsungan hidup.
“Tetapi dengan pemberian Sara ini, kami tidak risau lagi jika tanaman tidak menjadi, atau musim hujan. Namun kami harap ada cara yang lebih mudah untuk membuat tuntutan Sara ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd