am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui terdapat kelemahan dalam pentadbirannya, namun berjanji akan melakukan penambahbaikan secara berperingkat demi kepentingan rakyat.
Anwar berkata, kerajaan pimpinannya pada masa sama juga komited menangani rasuah dan salah guna kuasa selain memastikan pemimpin yang menyeleweng dikenakan tindakan.
“Orang kata Anwar banyak juga tak betul. Saya setuju, tapi kita baik pulih perlahan-lahan. Tapi saya nak bagitahu, saya tak bagi you (anda) curi, sama ada you menteri, ada kuasa kita tendang you keluar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Ramah Mesra Bersama PMX di Senggarang, di sini, hari ini.
Hadir sama, calon PH tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Parlimen Batu Pahat iaitu Felicia Poh rui Ling (Penggaram), Onn Abu Bakar (Senggarang) dan Mohamad Yazid Bakri (Rengit).
Beliau yang juga Pengerusi PH berkata, setiap rakyat mempunyai kuasa yang sama melalui undi tanpa mengira latar belakang atau kedudukan ekonomi.
“Orang gaji kecil, tak ada kereta, naik motosikal, rumah kecil, tetapi kuasa saudara sama seperti orang kaya dan tauke besar. Kuasa itu ialah undi.
“Gunakan undi supaya ada perubahan dalam negara kita,” katanya.
Pada masa sama, Anwar menegaskan pentadbirannya tidak akan melindungi mana-mana menteri atau pemimpin yang terpalit dengan skandal rasuah.
Katanya, amalan rasuah oleh pemimpin pada masa lalu menyebabkan negara kerugian besar, sedangkan rakyat terus berdepan tekanan kos sara hidup.
Justeru, beliau menggesa pengundi memberikan mandat kepada PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi membolehkan agenda reformasi dan usaha membaiki pentadbiran diteruskan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






