Orang Melayu suka cerita tahyul 'Cikgu Nina' kerana kelemahan rohani – Mufti

Orang Melayu suka cerita tahyul 'Cikgu Nina' kerana kelemahan rohani – Mufti


mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Sebahagian masyarakat Islam, khususnya masyarakat Melayu, mudah mempercayai cerita tahyul seperti kisah ‘Cikgu Nina’ dan pocong disebabkan kurang ilmu akidah, kelemahan rohani dan masalah psikologi, sekali gus menjadikan mereka terdedah kepada kepercayaan khurafat.

Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, kepercayaan seumpama ini menyeleweng daripada maqasid penciptaan jin dan syaitan yang bertujuan sebagai ujian dan ibadat serta bukan sumber ketakutan melampau.

Kata beliau, ia juga bercanggah dengan maqasid keamanan yang menuntut ketenteraman jiwa dan kestabilan sosial.

“Isu akidah dan kepercayaan terhadap makhluk halus serta fenomena ghaib menjadi polemik dalam masyarakat terutama berhubung kepercayaan terhadap entiti seperti pocong yang dikaitkan dengan roh orang mati.

“Kisah Cikgu Nina yang didakwa tinggal serumah dengan pocong menggambarkan keyakinan sesetengah lapisan masyarakat terhadap kewujudan makhluk halus itu.

“Realitinya, sebahagian masyarakat hari ini masih terpengaruh dengan budaya khurafat dan tahyul yang menjadikan jin dan makhluk ghaib sebagai pusat ketakutan serta penjelasan kepada pelbagai fenomena kehidupan,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas berkaitan mengapa masih ramai masyarakat Islam, khususnya orang Melayu, mudah mempercayai cerita tahyul dan hantu seperti kisah Cikgu Nina dan pocong yang tular baru-baru ini, sedangkan kepercayaan seperti ini jelas menyeleweng daripada ajaran Islam dan boleh menyesatkan akidah.

Penjelasan itu turut dimuat naik di Al-Afkar #155 bertajuk Kemurniaan Akidah Dalam Menangani Budaya Khurafat dan Tahyul di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Fauwaz berkata, kepercayaan yang melampaui batas terhadap jin seperti cerita tahyul, roh berkeliaran dan amalan mistik tanpa asas wahyu adalah satu bentuk penyimpangan daripada maqasid sebenar penciptaan makhluk itu.

“Syariat turut menjelaskan, penciptaan mereka mempunyai tujuan tertentu yang selari dengan ujian dan pentarbiahan Ilahi terhadap manusia.

“Antara maqasid utama penciptaan jin dan syaitan termasuk untuk merealisasikan ibadat kepada Allah SWT serta menjadi alat ujian terhadap keimanan manusia melalui godaan dan bisikan jahat (was-was).

“Bentuk ujian ini bukan untuk menyesatkan secara mutlak tetapi untuk menzahirkan kejujuran, kesabaran dan keteguhan seorang hamba terhadap Tuhannya sebagaimana dalam firman-Nya menerusi Surah al-Zariyat ayat 56,” katanya.

Ahmad Fauwaz berkata, Islam melarang perkara baharu tanpa dalil sahih kerana kepercayaan yang tidak bersandarkan dalil hanya melemahkan umat dari sudut pemikiran dan spiritual.

“Umat Islam perlu dipandu oleh wahyu, bukan khayalan dan usaha pemurnian akidah serta penolakan budaya khurafat amat penting bagi memastikan kehidupan yang aman, rasional dan selari dengan roh Islam.

“Kecenderungan terhadap khurafat sering berpunca daripada kelemahan psikologi manusia. Daripada sudut pemikiran, kurangnya ilmu menyebabkan seseorang gagal membezakan antara kebenaran dan tahyul.

“Daripada aspek rohani, ketiadaan amalan ibadat seperti solat, puasa dan zikir menjadikan jiwa kosong dan mudah terpengaruh manakala gangguan mental seperti kemurungan, tekanan dan hilang keyakinan diri turut membuka ruang kepada kepercayaan khurafat,” katanya.

Justeru, beliau berkata, pendidikan akidah dan amalan ibadat perlu diperkasakan supaya umat Islam lebih rasional, menolak khurafat dan fokus kepada ilmu serta amal yang membina dunia dan akhirat.

“Kekuatan ilmu, rohani dan emosi amat penting sebagai benteng daripada pengaruh amalan yang menyeleweng.

“Masyarakat disaran supaya tidak menyibukkan diri dengan perkara tidak membawa manfaat kepada dunia dan akhirat, sebaliknya menumpukan perhatian kepada ilmu dan amalan yang membina,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top