Pelakon Hisyam Hamid mengakui sudah penat kerana kerap diberikan naskhah bertemakan curang dan mencurangi.
Memetik Utusan Online, Hisyam bagaimanapun berkata itu realiti sebenar apabila stesen televisyen akan memilih drama berdasarkan rating penonton meskipun ada yang sudak muak dengan naskah sedemikian.
BACA: Hisyam Hamid Patut Jadi Penyampai Trofi, Netizen Dakwa Segmen Ditukar Saat Akhir
“Bila tidak habis-habis cerita curang sebegini yang mendapat rating tinggi, salah siapa? Sudah tentu penerbit dan penyiar mahu tetap buat cerita begini sebab tontonan yang tinggi.
“Pengkarya kita bukan tidak cuba buat benda baharu, tapi usaha itu tidak mendapat sambutan. Adat dunia perniagaan jika orang keluarkan modal, mesti mahukan pulangan. Jika pulangan tidak memberangsangkan buat apa mahu keluar modal lagi,” katanya.
Sementara itu, Hisyam berkata sebagai pelakon dia perlu melunaskan setiap kerja yang ditawarkan dengan profesional tambahan pula itu adalah kerjayanya sepenuh masa.
“Sebagai pelakon pun ada projek yang kita nak buat dan perlu dibuat. Kita terpaksa melakukannya. Samalah juga dengan cerita bertemakan curang begini.
“Orang mungkin cakap sudah bosan dengan cerita begini tapi data dan rating menunjukkan masih dapat permintaan tinggi. Kita sebagai pelakon pun tidak boleh lari.
“Cuma secara peribadi memang penatlah terima tawaran begini cuma selagi mana terima tawaran, saya tidak akan tolak rezeki. Jika memilih sangat tidak boleh juga sebab kita berlakon sepenuh masa,” katanya.
Sumber: Utusan






