Penyanyi dan pelakon popular, Ayda Jebat, meluahkan rasa terkilan terhadap segelintir individu berusia yang didakwa mempersenda nama bapanya.
Menerusi perkongsian di Threads, Ayda mengakui gurauan tersebut mengguris hatinya apatah lagi ia menyentuh nama insan yang disayanginya tanpa menyedari keadaan kesihatan lelaki itu yang sedang bertarung untuk pulih daripada penyakit strok.
“Tak tahu perlu ambil hati ke tak. Kadang bila Pak Cik, Mak Cik cakap ‘Oh ni lah Ayda Jebat! Anak si Jebat derhaka tu!’ sambil gelak-gelak… Itu kan nama bapa saya,” katanya.
Dalam masa sama, penyanyi lagu ‘Parah Parah’ itu mengakui dia hanya mampu bersabar dan tersenyum walaupun hatinya terguris dengan kata-kata berkenaan.
“Orang tu tengah struggle nak baik daripada stroke, Pak Cik dan Mak Cik main-mainkan nama dia.
“Sebab orang tua kita kena terima je lah kan? Senyum je lah… Saja kongsi sebab harini bithday Papa. Dan kejadian tu baru sahaja berlaku,” jelasnya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet turut berasa kurang senang dengan sikap segelintir pihak yang tidak sensitif mengenai isu ini apatah lagi melibatkan nama ibu bapa.
Malah, ramai juga yang mengambil kesempatan menitipkan doa agar ayah Ayda kembali pulih seperti sedia kala.









