SELEPAS 15 tahun bersara, Sam Adnan, 44, membuktikan usia bukan penghalang apabila pulang dari Kejuaraan Dunia Bina Badan ke-16 di Batam, Indonesia dengan pingat perak pada 14 November lalu.
Kemenangan itu hadir dalam Kategori Lelaki Physique Atletik (160 sentimeter ke bawah) yang dipenuhi peserta muda berumur 23 hingga 35 tahun, sekali gus membuktikan kemunculan semula beliau bukan sia-sia.
“Orang tua buat ‘comeback’ kira okeylah,” kata Sam sambil tersenyum, menekankan bahawa semangat dan disiplin boleh menewaskan skeptikal yang meragui kemampuan atlet veteran.
Sam bersara daripada arena bina badan pada 2010 untuk menumpukan perhatian kepada keluarga, anak-anak yang masih kecil ketika itu dan perniagaan.
Isteri, Intan Nurmastura (depan kiri) sentiasa memberi dorongan kepada Sam untuk keluar daripada persaraan dan kembali aktif dalam sukan bina badan secara kompetitif.
Sepanjang tempoh tersebut, isterinya, Intan Nurmastura Jamil sentiasa memberi sokongan tanpa jemu.
“Dia sentiasa beri semangat dan percaya pada kemampuan saya.
“Saya bertuah kerana dapat isteri yang memahami minat saya,” katanya.
Selain sokongan keluarga, Sam turut dipujuk rakan seperjuangan lama, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah.
Syarul yang mesra dengan panggilan Mike Mahen kini merupakan jurulatih skuad kebangsaan dan pernah berjuang bersama Sam ketika bergelar atlet negara satu masa dulu.
“Dia tahu potensi saya dan hampir setahun juga dia memujuk saya kembali ke pentas kompetitif,” ujar Sam.
Tambah Sam, motivasi juga datang daripada ikon bina badan seperti Sazali Samad, Iwan Setiawan dan Syukri Md Nasir.
Mengulas lanjut pencapaiannya di Batam, Sam berkata kemenangan tersebut bukan sahaja menghakis skeptikal, malah menyaksikan Malaysia muncul pasukan ketiga terbaik keseluruhan daripada 58 negara dengan membawa pulang dua emas, tujuh perak dan tiga gangsa.
Bagi Sam, pingat perak itu menjadi pembakar semangat menjelang Kejohanan Dunia Bina Badan ke-17 di Laos pada Disember tahun depan.
“Dalam tempoh 13 bulan ini, saya akan gunakan sepenuhnya untuk persiapan ke Laos.
“Balik dari Batam pun saya terus sambung rutin latihan, tiada skip dan tak sentuh langsung makanan bergaram sesuai dengan rejim ketat sebagai ahli bina badan.
“Sudah tentu sasaran saya di Laos nanti adalah emas. Bagi saya tiada yang mustahil.
“Saya hanya perlu lipat gandakan usaha,” ujar Sam.
Ringkasan AI
- Selepas 15 tahun bersara, Sam Adnan, 44, meraih pingat perak di Kejuaraan Dunia Bina Badan ke-16 di Batam
- Kemenangan dalam Kategori Lelaki Physique Atletik menunjukkan usia bukan penghalang
- Sam bersara pada 2010 untuk fokus pada keluarga dan perniagaan, mendapat sokongan kuat dari isteri
- Sam dipujuk untuk kembali bersaing oleh rakan lama, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen
- Pingat perak di Batam memotivasinya untuk sasaran emas di Kejohanan Dunia Bina Badan ke-17 di Laos






