Arsenal dijangka tidak akan berjaya memenangi kesemua empat piala.
BEKAS penyerang England, Michael Owen percaya Arsenal tidak akan mampu melakar sejarah memenangi empat piala (quadruple) musim ini dan mendakwa skuad kendalian Mikel Arteta itu boleh ditewaskan dalam saingan Piala FA serta Liga Juara-Juara.
Kenyataan itu hadir selepas The Gunners mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Piala Liga dengan kemenangan 1-0 ke atas Chelsea di peringkat separuh akhir.
Di pentas Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal bangkit daripada kemarau kemenangan dalam tiga perlawanan dengan membelasah Leeds United 4-0 hujung minggu lalu.
Ditambah pula dengan keputusan seri 2-2 Manchester City menentang Tottenham Ahad lalu, The Gunners kini selesa memimpin carta liga dengan kelebihan enam mata.
Owen berpendapat tiada pasukan yang cukup ampuh untuk mencabar Arsenal bagi kejuaraan liga musim ini.
“Saya tidak fikir ada sesiapa yang cukup bagus untuk bersaing dengan mereka musim ini, walaupun saya rasa jumlah pungutan mata tidaklah begitu tinggi.
“Satu-satunya pasukan yang mungkin boleh menewaskan mereka pada awal musim ialah Liverpool dan Manchester City, yang jelas sedang bergelut.
“Jadi saya fikir Arsenal pasti akan memenangi liga, tetapi ia seolah-olah ‘diserahkan’ kepada mereka kerana tiada tekanan besar diberikan. Saingan liga hampir selesai,” katanya.
Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada Arsenal mampu menyapu bersih keempat-empat piala, legenda Liverpool itu menolak kemungkinan tersebut walaupun mengakui kehebatan skuad Arteta.
Menurut Owen, terdapat dua halangan utama yang menyukarkan impian quadruple Arsenal.
“Saya fikir mereka boleh memenangi Piala Liga, tetapi dua lagi piala (Piala FA dan Liga Juara-Juara) akan menjadi sangat sukar.
“Pertama, semua pasukan lain akan memberi tumpuan lebih kepada Piala FA sekarang kerana saingan liga hampir tamat buat mereka. Piala ini akan menjadi penyelamat musim bagi pasukan lain, jadi mereka akan menurunkan kesebelasan terkuat,” jelasnya.
Tambah Owen lagi, alasan kedua melibatkan saingan Eropah yang dianggap terlalu terbuka.
“Kemudian ada Liga Juara-Juara, ia boleh dimenangi oleh sesiapa sahaja dan saingan sangat terbuka tahun ini,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Michael Owen percaya Arsenal tidak akan memenangi empat piala musim ini
- Arsenal mengesahkan tempat ke final Piala Liga dengan kemenangan 1-0 ke atas Chelsea
- Arsenal memimpin Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan enam mata setelah mengalahkan Leeds United 4-0
- Owen berpendapat bahwa Liverpool dan Manchester City adalah satu-satunya pasukan yang mampu menewaskan Arsenal awal musim
- Owen menyatakan Piala FA dan Liga Juara-Juara sebagai halangan utama untuk Arsenal mencapai impian quadruple






