NIBONG TEBAL : Polis kini sedang giat melancarkan gerakan memburu beberapa orang suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian samun bersenjata di sebuah kedai serbaneka di Jalan Sungai Daun, Taman Bistari di sini, Ahad lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Deputi Superintenden Norazmi Abd. Ghapar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9.29 malam itu, mangsa yang juga seorang lelaki tempatan telah diserang dengan menggunakan parang sehingga mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan kedua-dua tangan.
Beliau berkata, suspek kemudian telah melarikan sejumlah wang tunai, beberapa kotak rokok serta sebuah beg silang dengan nilai kerugian dianggarkan mencecah RM500.
“Mangsa pula telah dikejarkan ke Hospital Sungai Bakap untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Sunway Pulau Pinang. Lelaki berusia 27 tahun itu bagaimanapun dilaporkan berada dalam keadaan stabil ketika ini,” katanya di sini, hari ini.
Jelas Norazmi, polis juga telah memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berkaitan kejadian dan sedang menjalankan analisis lanjut termasuk mengenal pasti kenderaan suspek ketika itu yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran asing.
Pada masa yang sama katanya, pemeriksaan forensik turut dijalankan di lokasi bagi mendapatkan bahan bukti yang boleh membantu siasatan.
“Polis memberi jaminan bahawa siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh dan usaha mengesan serta menangkap suspek yang terlibat sedang dipergiatkan,” katanya yang memberitahu, kes kini disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Tuan Noremifarahana Tuan Roslan di talian 04-5858222 atau datang ke mana-mana balai polis berhampiran.-UTUSAN






