PAC kemuka 7 syor atasi kelemahan PBAN di Sabah

PAC kemuka 7 syor atasi kelemahan PBAN di Sabah


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)  mengesyorkan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi membangun pelan induk projek Bekalan Air Luar Bandar (BLAB) bagi memastikan penduduk Sabah mempunyai akses kepada bekalan air berkualiti dan selamat.

Ia antara tujuh syor dikemukakan PAC kepada Kerajaan Persekutuan yang didapati tidak mempunyai pelan induk setakat ini bagi penyediaan bekalan air terawat luar bandar yang menyeluruh.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, KKDW bersama kerajaan negeri, agensi dan pihak berkuasa berkaitan perlu memantapkan kaedah pengurusan projek serta lebih proaktif berkoordinasi secara berterusan bagi memastikan projek dirancap siap mengikut jadual.

“Pengurusan projek BALB kurang teratur kerana kurangnya koordinasi di antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, agensi serta pihak berkuasa yang berkaitan.

“Perkara ini membawa kepada permasalahan seperti pertindihan projek, urusan hal ehwal tanah, pelan perancangan perhubungan bekalan air ke kawasan berkaitan dan lain-lain,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media, Bangunan Parlimen, hari ini.

Mas Ermieyati berkata, PAC turut mengesyorkan KKDW memastikan pihak kerajaan negeri atau pihak berkuasa air negeri (PBAN) mengemukakan prosedur operasi standard (SOP) pelan pencegahan serta pemulihan berjadual sebelum projek diserahkan.

“Kelemahan dalam pengurusan penyelenggaraan dilihat sangat kritikal kerana tiada pelan pencegahan dan pemulihan berjadual dilaksanakan oleh PBAN sehingga banyak berlaku kerosakan terhadap aset yang disediakan di bawah projek BALB.

“Perkara ini menyebabkan kos pembaikan meningkat dan kualiti bekalan air terjejas,” katanya.

Beliau berkata, KKDW perlu turut memasukkan kos penyediaan tangki air dan pemasangan meter di dalam kos di bawah projek BLAB yang melibatkan pendudukan tidak berkemampuan.

Selain itu, katanya, perlunya rundingan dengan kerajaan negeri atau PBAN supaya menyelesaikan isu-isu meter yang tidak dipasang tersebut.

“Ketidakmampuan pemilik premis atau rumah di Sabah menanggung kos pembelian tangki air dan penyambungan meter air menafikan hak mereka memperoleh kemudahan asas air terawat” jelasnya.

Tambahnya, KKDW perlu mengemukakan status peralihan bekalan elektrik daripada generator kepada bermeter untuk 15 loji yang berkaitan.

“PAC Sabah dan kerajaan negeri atau PBAN disarankan untuk memantau isu berhubung projek BALB,” katanya. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top