New Delhi: Seorang pempengaruh terkenal India yang mencipta nama dengan mempamerkan wang tunai serta barangan kemas di YouTube dan platform media sosial menjadi mangsa pecah rumah yang menyebabkannya kerugian mencecah 10 lakh rupee (kira-kira RM56,000), lapor Oddity Central.
Mangsa yang dikenali sebagai Rachna Gurjar mendakwa kejadian itu berlaku lewat malam ketika dia bersama ahli keluarganya sedang nyenyak tidur di kediaman mereka di daerah Shivpuri, Madhya Pradesh.
Beberapa lelaki tidak dikenali dilaporkan memotong pagar di sekeliling kawasan kediaman itu sebelum menceroboh masuk dan mengunci pintu bilik tempat mereka sekeluarga sedang tidur.
Pempengaruh itu mendakwa dia dan suaminya hanya menyedari sesuatu yang tidak kena kira-kira jam 4 pagi apabila salah seorang daripada mereka terjaga dan mendapati pintu bilik tertutup rapat.
Mereka cuba membuka pintu berkenaan namun gagal kerana ia berkunci dari luar sekali gus menyebabkan mereka panik sebelum segera menghubungi saudara terdekat di kawasan kejiranan untuk mendapatkan bantuan.
Selepas berjaya keluar dari bilik itu, Rachna dan suaminya mendapati ruang penyimpanan diselongkar, selain barangan kemas, wang tunai serta sekotak minuman tenaga hilang.
“Mereka mengunci kami di dalam bilik dan kemudian melakukan melarikan barangan kemas emas, perak, wang tunai serta sekotak minuman tenaga,” katanya ketika mengulas mengenai kejadian itu.
Rachna berkata, anggaran keseluruhan kerugian adalah sekitar 8 lakh hingga 10 lakh rupee (kira-kira RM44,000 hingga RM56,000).
Kumpulan penyamun itu turut dikesan mengubah kedudukan kamera litar tertutup (CCTV) di rumah berkenaan dipercayai menggunakan kayu lathi (batang buluh) bagi mengelak wajah mereka dirakam.
Pihak polis tempatan sudah melancarkan siasatan berhubung kes itu dan antara petunjuk utama kini tertumpu kepada aktiviti media sosial yang dilakukan oleh Rachna sebelum kejadian.
Mangsa sebelum ini sering merakam video dari dalam rumahnya untuk mempamerkan barangan kemas serta wang tunai kepada hampir 100,000 pengikutnya.
Penyiasat percaya tindakan itu berkemungkinan menjadikannya sasaran utama penjenayah.
Ketika polis giat mengenal pasti lelaki bertopeng melalui rakaman CCTV, insiden berkenaan mencetuskan perdebatan hangat dalam talian mengenai risiko memaparkan kekayaan serta hiasan dalaman rumah di media sosial.
© New Straits Times Press (M) Bhd






