Kuantan: Lepaskan asap tebal berlebihan melalui ekzos kenderaan hingga mencemarkan alam sekitar.
Tindakan pemilik kenderaan itu bagaimanapun mengundang padah apabila mereka dikenakan kompaun oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang melalui Operasi Gerak Kenderaan Motor Peringkat Kebangsaan 2026 (Ops Gerak 2026) di laluan pintu masuk Gambang di sini.
Pengarah JAS Pahang Zakaria Ahmad @ Mohd berkata, kedua-dua kenderaan itu dikompaun di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Petrol) 1996.
“Operasi yang dijalankan bermula jam 9 malam hingga 11 malam tadi bertujuan memastikan semua pihak sama ada individu mahupun industri mematuhi undang-undang alam sekitar, khususnya berkaitan pelepasan asap dan gas daripada kenderaan,” katanya.
Beliau berkata, Ops Gerak 2026 dilaksanakan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pahang, dengan fokus kepada pematuhan kenderaan bermotor dan pengguna jalan raya.
Zakaria berkata, JAS tidak berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang alam sekitar dan akan terus memperhebat tindakan penguatkuasaan.
“Operasi ini diharap dapat memberi mesej jelas bahawa kerajaan serius dalam menangani jenayah alam sekitar serta memastikan kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah JPJ Pahang Ahmad Sallehhuddin Mat Nasir berkata sepanjang operasi itu, pihaknya memeriksa 150 kenderaan dan mengeluarkan 20 saman atas pelbagai kesalahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






