Padang becak teruk, rencatkan rentak Harimau Malaya- Vicente

Padang becak teruk, rencatkan rentak Harimau Malaya- Vicente



firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengendali skuad Harimau Malaya, Pau Marti Vicente akui agak kecewa dengan permukaan padang khususnya di babak pertama pada aksi persahabatan Tier 1 menentang Laos di Stadium PAT, Bangkok, malam tadi.

Katanya, hujan lebat sebelum perlawanan menyebabkan permukaan padang becak dan bertakung yang akhirnya mengganggu rentak permainan.

“Bagi saya dengan keadaan padang seperti ini (becak), lebih baik kita tunggu dan perlawanan dilewatkan seketika, tapi perlawanan diteruskan dan kita kena harunginya.

“Kita perlu sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan padang itu,” katanya yang menyaksikan anak buahnya menang 3-1 ke atas Laos.

Dalam perlawanan itu, pasukan negara yang menghuni tangga 133 dunia harus berterima kasih kepada dua pemain gantian iaitu Stuart Wilkin dan Sergio Aguero yang masuk pada babak kedua.

Kehadiran pemain terbabit menyaksikan Malaysia dihadiahkan dua sepakan penalti yang berpunca daripada dua tonggak terbabit.

Malah, Wilkin dan Aguero sendiri masing-masing menyempurnakan sepakan penalti pada babak kedua, di mana sebelum itu jaringan awal skuad Harimau Malaya menerusi tandukan Harith Haiqal di minit keenam dipadamkan oleh Kydavone Souvanny di minit ke-33.

“Saya agak kecewa (main di atas padang becak)…apabila kita buat persediaan sebaiknya dalam latihan, tapi sebaliknya berlaku apabila terpaksa main atas padang seperti itu. Sudah tentu sukar untuk bermain,” katanya lagi.

Selepas ini, skuad negara akan terbang ke Hyderabad untuk satu lagi perlawanan persahabatan Tier 1 menentang India, Isnin ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top