Padang Stadium Perak diganti kepada rumput Axonopus Putra hasil penyelidikan UPM dan diluluskan KBS – Gambar hiasan
PADANG Stadium Perak menggunakan rumput jenis Axonopus Putra menggantikan rumput sedia ada jenis cow grass sebagai sebahagian kerja naik taraf yang bermula Jun lepas.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, spesies rumput baharu yang diguna pakai itu hasil penyelidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan mendapat kelulusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Rumput (Axonopus Putra) ini lebih halus, lebih rapat dan mempunyai ketahanan lebih baik dan amat sesuai dengan iklim di Malaysia.
“Rumput jenis ini juga telah digunakan sebelum ini di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang (Pahang),” katanya pada sidang akhbar di Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini hari ini.
Pada 28 Mac lepas, MBI bercadang Stadium Perak akan menggunakan rumput jenis `Bermuda Tifgrand’ seperti mana diguna pakai untuk Stadium Darul Makmur, Pahang.
Keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai aspek teknikal walaupun pada awalnya mahu menggunakan jenis Zeon Zoysia seperti di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor.
Shy Ching berkata, penggantian rumput itu penting kerana rumput sedia ada sering menimbulkan masalah sehingga menyebabkan beberapa perlawanan bola sepak terpaksa ditangguhkan membabitkan perlawanan Liga Malaysia sebelum ini.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya menjangkakan padang Stadium Perak hanya boleh diguna pakai untuk sebarang aktiviti bermula pertengahan tahun hadapan.
“Kita kena tunggu kerana rumput baharu memerlukan sekurang-kurangnnya tiga hingga enam bulan selepas ditanam untuk mencapai tahap kesesuaian sebelum sesuatu aktiviti boleh dilaksanakan,” katanya.
Menyentuh tentang kerja naik taraf stadium itu, Shy Ching kata ia menelan belanja keseluruhan sebanyak RM842,000 meliputi sistem perparitan baharu, kerja meratakan padang serta penanaman semula rumput sepenuhnya.
“Setakat ini semua kerja-kerja naik taraf berjalan mengikut jadual dan pihak kontraktor juga baru melepasi fasa awal pelaksanaan projek berkenaan,” katanya. – Bernama
Ringkasan AI
- Padang Stadium Perak menggunakan rumput jenis Axonopus Putra menggantikan rumput sedia ada jenis cow grass
- Rumput Axonopus Putra adalah hasil penyelidikan Universiti Putra Malaysia dan mendapat kelulusan Kementerian Belia dan Sukan
- Spesies rumput ini lebih halus, lebih rapat, mempunyai ketahanan lebih baik dan sesuai dengan iklim Malaysia
- Penggantian rumput Penting kerana rumput sedia ada sering menimbulkan masalah sehingga menyebabkan penangguhan beberapa perlawanan bola sepak
- Kerja naik taraf stadium menelan belanja sebanyak RM842,000 meliputi sistem perparitan baru, kerja meratakan padang serta penanaman semula rumput sepenuhnya