PADAT, FBMK UPM kerjasama bina Rumah Selangor, penuhi hasrat Sultan Selangor

PADAT, FBMK UPM kerjasama bina Rumah Selangor, penuhi hasrat Sultan Selangor


nurul.hidayah@hmetro.com.my

Serdang: Kerajaan Selangor menerusi Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) akan bekerjasama dengan Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBMK) Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam pembinaan Rumah Selangor.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerjasama itu adalah usaha dan komitmen untuk merealisasikan hasrat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, agar pembinaan rumah itu menjadi salah satu warisan yang signifikan.

“Inisiatif ini bukan saja memperkukuhkan jati diri dan warisan negeri tetapi juga memperlihatkan semangat kerjasama dan keprihatinan warga FBMK dalam memelihara budaya serta sejarah Selangor.

“Rumah Selangor bukan sekadar sebuah struktur fizikal tetapi simbol kebanggaan, identiti dan warisan yang akan terus dikenang dan dihargai oleh generasi akan datang,” katanya pada Sambutan Jubli Mutiara Tiga Dekad FBMK UPM, di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, beliau turut merasmikan pecah tanah pelancaran Rumah Selangor serta melancarkan buku berjudul ‘Capability Building and Knowledge Transfer’ ditulis Allahyarham Prof Emeritus Datuk Dr Rahim Md Sail yang juga mantan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM.

Amirudin berkata, kerjasama antara Padat dengan FBMK UPM adalah untuk menjaga serta memastikan kebudayaan masyarakat pelbagai etnik di negeri ini khususnya Melayu supaya dapat dipertahankan.

“Ia dapat dilakukan dengan pembinaan rumah dengan ciri serta reka bentuknya yang sedikit sebanyak membantu pemahaman kebudayaan kepada generasi masa depan, khususnya dalam kalangan mahasiswa selain dijadikan sebagai rujukan oleh pengkaji.

“Modul rumah yang kita lihat ini adalah rumah Bugis yang diambil dari Sabak Bernam. Saya difahamkan pemilik rumah itu masih tinggal di sana dan masih dalam proses pengambilan untuk dibangunkan semula.

“Pemilihan modul rumah Bugis (sebagai Rumah Selangor) kerana etnik itu adalah antara masyarakat yang signifikan di negeri ini selain etnik lain seperti Jawa serta Minang,” katanya.

Menurutnya, terdapat beberapa rumah tradisional di negeri ini yang boleh dibangunkan semula termasuk rumah Minang Pak Ali.

“Saya sedang mencadangkan untuk rumah berkenaan dibangunkan semula dan berbincang mengenai perkara itu dengan pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

“Sekiranya rumah itu tidak dapat dibawa ke sini (FBMK), kita akan bangunkan di tapak asal,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top