PAFA sedia bantu pemain muda Perak FC

PAFA sedia bantu pemain muda Perak FC


PERSATUAN Bola Sepak Perak (PAFA) menyatakan kesediaan untuk membantu pemain-pemain muda Perak FC susulan keputusan mengejutkan pemilik kelab, XOX Berhad membubarkan pasukan dan menarik diri daripada saingan Liga Super musim hadapan.

Presiden PAFA, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, pihaknya komited untuk memberikan sokongan mengikut kemampuan sedia ada terutama aspek membina semula kerjaya pemain-pemain muda negeri itu.

“PAFA menghormati keputusan yang dibuat memandangkan XOX Berhad memiliki 100 peratus pemilikan saham Perak FC. Namun dalam masa sama, bersimpati dengan nasib yang menimpa para pemain khususnya barisan muda.

“PAFA akan memastikan pembangunan bola sepak di setiap daerah dan negeri Perak tidak terjejas dengan keputusan ini.

“Sehubungan itu, PAFA akan terus fokus memainkan peranan memperkukuh pembangunan akar umbi dalam melahirkan pemain muda berkualiti dan berintegriti, sebagaimana mandat diberikan kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Pada 27 April lalu, Perak FC secara rasmi memaklumkan bahawa mereka menarik diri daripada saingan Liga Super 2025 dan membubarkan skuad utama, termasuk pasukan Piala Presiden dan Piala Belia.

Keputusan drastik itu disebabkan ketidakmampuan kewangan untuk meneruskan komitmen dalam liga profesional.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Mohd Azhar menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan XOX Berhad sepanjang tempoh mereka menguruskan kelab.

Katanya, PAFA kini sedang membentuk pasukan Sukan Malaysia (Sukma) 2025/2026 selain mempertimbangkan mendaftarkan pasukan itu ke dalam saingan Liga A1 atau A2 bagi menimba lebih banyak pengalaman kompetitif.

“PAFA akan merujuk dan mendapatkan nasihat daripada kerajaan negeri, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Liga Bolasepak Amatur (AFL) untuk sebarang langkah yang bakal diambil.

“Terima kasih kepada semua pihak terutama Menteri Besar Perak atas sokongan dan dokongan berterusan kepada usaha PAFA dalam pembangunan bola sepak negeri,” kata beliau lagi.

Kemelut Perak FC mula menarik perhatian ramai selepas kelab itu yang dimiliki sepenuhnya oleh XOX Berhad, bergelut dengan masalah kewangan serius sepanjang musim 2024.

Langkah itu sekali gus menandakan berakhirnya penyertaan sebuah kelab yang pernah menjadi antara kuasa tradisi bola sepak Malaysia, dengan sejarah kejuaraan liga dan kejayaan di pentas Piala Malaysia.



Source link

OR

Scroll to Top