sukan@hmetro.com.my
Ipoh: Persatuan Bolasepak Perak (Pafa) muncul persatuan bola sepak negeri pertama di Malaysia menubuhkan Jawatankuasa Integriti dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Presiden Pafa, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, pihaknya sudah melantik Pengarah SPRM Perak, Datuk Ahmad Sabri Mohamed sebagai Pengerusi Jawatankuasa Integriti bermula November lalu.
Menurutnya, jawatankuasa khas itu akan memantau pengurusan dana dan menasihati Pafa secara langsung bagi memperkemas aspek tatakelola persatuan.
“Jawatankuasa Integriti diwujudkan di peringkat nasional oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan setiap negeri diarahkan mesti ada jawatankuasa ini.
“Wakil SPRM ini juga dilantik dalam Jawatankuasa Eksekutif, bermakna mereka akan berada bersama kita dalam setiap mesyuarat eksekutif. Contohnya, kita bincang berkenaan program, dana dan sebagainya, wakil SPRM akan beri nasihat dan pandangan. Jika ada kes, mereka akan tahu dan terus ambil tindakan,” katanya pada Kongres Tahunan Pafa Kali Ke-63 di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram yang merasmikan kongres berkenaan.
Oktober lalu, FAM bersama SPRM dilaporkan membincangkan pelaksanaan jawatankuasa integriti di semua persatuan bola sepak peringkat negeri dan ahli gabungan FAM pada seminar antirasuah bagi mencegah ketirisan dalam pengurusan dan penyaluran dana.
Inisiatif itu adalah usaha meningkatkan integriti dalam sukan bola sepak dan seterusnya memelihara imej FAM yang sifar toleransi terhadap rasuah bola sepak.
Jawatankuasa integriti itu akan diketuai oleh pegawai SPRM dan Polis Diraja Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd