Pahang buat julung kalinya anjur Klinik STL

Pahang buat julung kalinya anjur Klinik STL


BUAT pertama kali dalam sejarah penganjurannya, negeri Pahang dipilih sebagai tuan rumah bagi sesi pembukaan Klinik Sepak Takraw League (STL) 2025 yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) RPS Betau, Kuala Lipis.

Klinik tersebut dianjurkan bersempena kejohanan STL Divisyen 1 yang sedang berlangsung di Stadium SUKPA, Kuantan dari 28 Mei hingga 1 Jun.

Seramai 400 pelajar SMK RPS Betau terlibat dalam Klinik STL pada sesi pertama musim ini.

Ia melibatkan penyertaan seramai 400 pelajar Orang Asli daripada suku Semai berumur antara 12 hingga 17 tahun, termasuk pelajar dari enam buah sekolah berhampiran yang turut dijemput bagi memeriahkan lagi program pembangunan bakat ini.

Penganjuran klinik ini menjadi sebahagian daripada usaha berterusan Astro Arena bersama Astro Kasih dalam memperkasa pembangunan sukan sepak takraw di peringkat akar umbi, terutamanya dalam komuniti luar bandar dan masyarakat Orang Asli.

Antara pelajar wanita dan lelaki yang mewakili SMK RPS Betau dalam sepak takraw.

Antara pelajar wanita dan lelaki yang mewakili SMK RPS Betau dalam sepak takraw.

Musim ini turut menyaksikan penglibatan aktif CelcomDigi selaku penaja utama yang tampil memperkukuh pelaksanaan program pembangunan bakat belia menerusi pendekatan inklusif dan mampan.

Kerjasama pelbagai pihak ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh ekosistem sukan tempatan, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada bakat muda menyerlah di pentas kebangsaan.

Hos STL, Azlan Mubin (kiri) dan Haida Jafri hadir memeriahkan Klinik STL di SMK RPS Betau.

Hos STL, Azlan Mubin (kiri) dan Haida Jafri hadir memeriahkan Klinik STL di SMK RPS Betau.

Menurut Ketua Jurulatih Klinik STL, merangkap bekas perejam emas negara Mohd Futra Abdul Ghani, pendedahan awal dan asas kemahiran yang kukuh merupakan tunjang utama dalam pembentukan pemain pelapis yang berkualiti.

“Latihan di peringkat sekolah sangat penting untuk membina asas permainan yang mantap. Klinik ini memberi fokus kepada kemahiran asas seperti kawalan bola, libasan dan servis.

“Melalui pendedahan awal seperti ini, kami berharap minat terhadap sukan sepak takraw dapat disemai lebih awal dalam kalangan pelajar,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) serta sokongan padu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang memperluas capaian program pembangunan ini ke kawasan pedalaman dan membuka peluang kepada penglibatan belia wanita dalam sukan warisan negara.

Selepas sesi pembukaan di SMK RPS Betau, Klinik STL akan meneruskan siri jelajah ke beberapa negeri utama termasuk Terengganu, Johor, Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang bermula Julai ini.

Sebagai tambahan istimewa tahun ini, peserta terbaik dari setiap lokasi akan dipilih untuk menyertai Kem Latihan Asas di Pusat Akademi Sepak Takraw Malaysia iaitu pusat latihan rasmi pertama seumpamanya di negara ini.

Inisiatif ini turut mendapat pengiktirafan daripada KBS dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai sebahagian usaha strategik dalam melahirkan generasi pelapis yang mampu mengangkat martabat sukan sepak takraw ke peringkat lebih tinggi.



Source link

OR

Scroll to Top