KUCHING – Satu lembaran baharu dalam landskap sukan tempur negara bakal tercipta apabila Pahlawan Championship secara rasmi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS), semalam.
Kerjasama strategik itu membuka laluan kepada penganjuran sebuah acara sukan tempur bertaraf antarabangsa berskala besar yang dijadualkan berlangsung di Sarawak pada September depan.
Presiden Pahlawan Championship, Muhammad Faizol Mohd Mokhtar berkata, penganjuran tersebut dijangka menjadi antara acara tempur terbesar pernah dianjurkan di Bumi Kenyalang, sekali gus mengangkat Sarawak sebagai hab baharu sukan tempur di rantau ini.
Menurutnya, kejohanan itu bakal menghimpunkan atlet tempatan dan antarabangsa dalam sukan tempur muay thai.
“Ini bukan sekadar kejohanan, tetapi satu platform untuk memperkasa atlet tempatan, di samping membuka peluang kepada bakat baharu menonjol di pentas dunia,” katanya.
Tambah beliau, penganjuran itu juga dijadualkan berlangsung sejurus selepas Sukan Malaysia 2026 yang akan diadakan di Selangor dari 15 hingga 24 Ogos depan, sekali gus memanfaatkan momentum temasya sukan terbesar negara itu.
Majlis menandatangani MoU berkenaan telah disempurnakan oleh Muhammad Faizol bersama Presiden PMNS, Jumaat Ibrahim selepas perasmian sesi Pengenalan Peserta Dan Kontinjen, Kejohanan Muaythai Piala TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak Dan Piala Borneo 2026 di Tebingan Sungai Kuching pada Khamis.
Pahlawan Championship sebelum ini dilaporkan media sebagai antara platform sukan tempur tempatan yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan peminat sukan lasak dan seni bela diri.
Sejak diperkenalkan, kejohanan itu konsisten menampilkan gabungan elemen profesional dan pembangunan akar umbi dengan memberi ruang kepada atlet muda untuk beraksi bersama pejuang berpengalaman.
Pahlawan Championship juga pernah menampilkan ikon-ikon terkenal dalam sukan tempur itu seperti Super Bon dan Super Lek selain turut mendapat sokongan daripada jaguh muay thai negara, Johan Ghazali.
Selain itu, Pahlawan Championship turut dikenali kerana usaha memperkenalkan konsep hiburan sukan (sports entertainment) dalam penganjuran acara tempur, termasuk penggunaan pentas produksi berskala besar, siaran digital serta penglibatan komuniti tempatan.
Langkah memperluaskan penganjuran ke Sarawak dilihat selari dengan perkembangan pesat sukan muay thai di negeri itu, yang kini semakin aktif melahirkan atlet berpotensi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Dengan kerjasama erat antara Pahlawan Championship dan PMNS, acara yang dirancang pada September depan dijangka bukan sahaja merancakkan industri sukan tempur, malah memberi limpahan ekonomi kepada sektor pelancongan dan hospitaliti negeri.
Jika direalisasikan seperti dirancang, kejohanan ini berpotensi menjadi penanda aras baharu bagi penganjuran sukan tempur di Malaysia.





