Paijang tak sabar nak balik – Faridah

Paijang tak sabar nak balik – Faridah



zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: “Suami ada beritahu sudah tidak sabar nak balik rumah sebab rindu isteri dan anak,” kata Faridah Abdul Karim, 44.

Faridah adalah isteri kepada Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, lelaki orang kurang upaya (OKU) yang dibelasah beberapa individu di pasar tani di Padang Astaka Chukai, Kemaman, Jumaat lalu.

Menurut Faridah, keadaan suaminya semakin sihat dan ceria walaupun beberapa kesan lebam dan luka masih kelihatan.

Katanya, suaminya dijangka selesai menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, dalam beberapa hari lagi sebelum dibenarkan pulang.

“Alhamdulillah keadaan dia pun sihat, nampak ceria sikit, dia tengok akak (saya) tadi suka… dia siap cium kening akak lagi tadi nak balik rumah sebab rindu dah ke isteri,” katanya ketika ditemui di Kompleks Psikiatri HSNZ Kuala Terengganu di sini hari ini.

Faridah berkata demikian ketika menyambut kunjungan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin, yang melawat Ahmad Nor Al Faizan.

Dalam kunjungan itu, Azman meluangkan masa kira-kira 30 minit melawat Ahmad Nor Al Faizan di wad berkenaan.

Sebelum ini, tular di laman sosial video berdurasi 1 minit 52 saat yang memaparkan seorang lelaki dipukul dan diheret oleh beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, Kemaman.

Menurut polis, siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila mangsa berumur 47 tahun menunggang motosikal dan memasuki tapak jualan pasar tani, lalu terlanggar sebuah gerai sehingga menyebabkan makanan jualan di gerai tersebut terjatuh.

Setakat ini, seramai enam lelaki berusia antara 18 hingga 60 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top