Pakai sedondon sambut raya dengan isteri di wad

Pakai sedondon sambut raya dengan isteri di wad


nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Demi menggembirakan isteri yang mengalami komplikasi kehamilan, seorang lelaki membuat kejutan dengan memakai baju sedondon dengan pakaian pesakit di dalam hospital bagi mendapatkan ‘mood’ suasana beraya.

Menceritakan kisah itu, Fatin Nasihah Jamaluddin, 34, berkata, dia dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, Johor sejak 12 Mac lalu selepas disahkan mengalami ‘Placenta previa’ iaitu uri (plasenta) berada di bahagian bawah rahim.

“Saya ada dibenarkan pulang selama tiga hari iaitu pada 19 hingga 21 Mac lalu untuk beraya di rumah sebelum masuk semula ke hospital pada lalu 22 Mac lalu.

“Sejak dimasukkan semula ke hospital pada 22 Mac lalu, saya masih berada di wad dan sedang menunggu pembedahan bagi melahirkan anak, Jumaat ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Fatin yang kini sarat mengandung lapan bulan berkata, suaminya, Helmi Mansor, 34, memang suka memakai pakaian sedondon dengan keluarga sejak dari awal perkahwinan mereka.

“Suami memang dah tahu saya akan beraya lama di hospital dan tiga anak kami tidak akan dapat datang ke hospital memandangkan kanak-kanak tidak dibenarkan melawat.

“Dia (suami) mahu membuat kejutan sempena hari lahir saya pada 24 Mac lalu. Namun, baju sedondon ditempahnya lambat sampai menyebabkan dia tidak dapat memakai ketika sambutan hari lahir saya.

“Disebabkan itu, suami memakai baju berkenaan pada 28 Mac lalu kerana mahu menggembirakan saya sebab dia tahu saya sedih kerana perlu berada lama di hospital,” katanya.

Menurutnya, dia terkejut dan terharu dengan kejutan yang dilakukan suaminya itu yang dirasakannya amat mencuit hati.

“Saya tergelak kuat apabila lihat suami ketika dia memakai baju berkenaan meskipun tahu suami memang kuat mengusik.

“Apabila saya muat naik video itu di media sosial, saya tidak sangka ia akan tular kerana saya tahu niat suami hanya mahu menghiburkan saya.

“Ternyata bukan saya sahaja yang terhibur, malah warga net turut terhibur dengan kejutan dilakukan suami,” katanya yang juga kakitangan swasta.

Beliau juga amat berterima kasih kepada suaminya kerana sudah menjadi suami dan ayah yang baik.

Terdahulu, Fatin memuat naik video berdurasi 45 saat di akaun TikTok miliknya yang memaparkan suaminya memakai pakaian sedondon dengan pakaian wad semasa melawatnya di hospital pada 28 Mac lalu.

Video berkenaan tular di media sosial dengan jumlah tontonan mencecah 1.9 juta, lebih 261,000 tanda suka serta dikongsi sebanyak 67,000 kali.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top