“Pakaian Ketat Melekat, Singkat & Terbuka”- Ustazah Asma’ Harun Tegur Kumpulan Dolla, Dakwa Makin Ghairah & Memalukan

“Pakaian Ketat Melekat, Singkat & Terbuka”- Ustazah Asma’ Harun Tegur Kumpulan Dolla, Dakwa Makin Ghairah & Memalukan


Pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun  tampil menegur penampilan dan persembahan kumpulan wanita popular, Dolla, yang didakwa semakin melampau dengan gaya pemakaian ketat, singkat serta gerakan tari yang menggugat batas kesopanan.

Katanya, perkembangan terbaharu kumpulan itu yang muncul dengan lagu dan video muzik baharu menimbulkan rasa bimbang dalam kalangan masyarakat apabila unsur ghairah semakin ketara dipertontonkan kepada umum.

“Dolla, inikah yang kita banggakan sebagai wajah seni hiburan negara kita ? Dolla, tolonglah berubah.

“Bila ada lagu baru dari kumpulan ini, saya cuba fikir… Makin lama makin parah, makin terbuka sana sini, makin ghairah, makin memalukan,” katanya.

Jelasnya, apa yang dipersembahkan kumpulan itu kini bukan lagi berada dalam ruang lingkup seni yang sihat, sebaliknya menjurus kepada aksi tidak bermoral.

Selain,  imej yang dibawa Dolla tidak mencerminkan identiti negara yang berpegang pada nilai kesopanan.

“Apa yang dipertontonkan bukan lagi satu seni hiburan, ia sudah sampai satu tahap pertunjukan dalam laman gelap atau club tapi secara terangan atas nama seni?!

“Pakaian ketat melekat, singkat terbuka melampau, gerakan mengiurkan semuanya dipakejkan sebagai satu seni lagu.

“Paling menyedihkan, salah seorang anggotanya adalah wanita Islam, dan walau yang bukan islam sekalipun, anda tetap bawa imej Negara Malaysia yang berpegang pada Rukun Negara ke-5 iaitu kesopanan dan kesusilaan. Seni apa yang dibina di atas aksi memalukan begini?,” jelasnya.

Dalam pada itu, Asma’ juga menegaskan, seni yang dibina atas aksi memalukan bukanlah kemajuan, sebaliknya kerosakan budaya apatah lagi ada pihak yang mempertahankan persembahan sedemikian atas alasan kemodenan dan identiti seni.

“Kemajuan apa yang dibina di atas dosa ? Kemodenan apa yang dibina di atas runtuhnya rasa malu ? Bagi saya videonya amat tidak bermoral, memalukan wanita Islam, memalukan negara yang namanya Malaysia, negara Islam.

“Lebih perit, ada orang yang mempertahankan dengan pujian dan rasa bangga. Inilah bahaya apabila normalisasi maksiat mula dianggap trend.

“Apa yang salah dianggap biasa. Apa yang haram dianggap “tak apa”. Apa yang menjolok mata dianggap artistik,” kongsinya.

Mengulas lanjut, Asma’  menepis dakwaan kononnya tegurannya itu bertujuan menyebarkan kebencian terhadap mana-mana artis, sebaliknya mahu mengingatkan masyarakat mengenai batas moral dalam hiburan.

“Ini bukan kempen benci. Ini kempen sedarkan diri. Kalau budaya salah berhenti disokong, budaya itu akan mati. Kalau budaya itu berubah, masyarakat pun berubah.

“Semoga Allah SWT menjaga Malaysia daripada hilangnya rasa malu dan kembalikan kita kepada hiburan yang lebih sopan, terdidik, berkat dan diredhai. Yang menjalankan tugas sebagai HambaNya,” ujarnya.

Sebelum ini, Asma’ turut berkongsi hantaran sama menerusi muat naik di laman Facebook miliknya beserta beberapa tangkap layar komen netizen terhadap kumpulan Dolla.

 



Source link

OR

Scroll to Top