Pakar bedah mata, guru Al Quran dinobat qari dan qariah Sabah

Pakar bedah mata, guru Al Quran dinobat qari dan qariah Sabah


am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Pakar bedah mata dan guru al-Quran masing-masing dinobatkan sebagai qari dan qariah bagi Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Sabah tahun 1447H/2026M.

Dr Muhammad Hazim Sharum, 37, dan Nur Faten Izzati Rablin, 34, masing-masing menerima hadiah wang tunai bernilai RM10,000, piala, sijil penghargaan, peranti tablet dan jam tangan pintar, buku agama serta sepersalinan baju dan al-Quran.

Hadiah disampaikan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman pada majlis yang berlangsung di Dewan Saadah, Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), semalam.

Dr Muhammad Hazim ketika ditemui bersyukur kerana usahanya kali ini membuahkan hasil walau merasakan masih ada ruang untuknya mempertingkatkan bacaan ayat suci.

Katanya, beliau tidak mempunyai tempoh masa spesifik untuk latihan namun menggunakan masa terluang dan memanfaatkan masa tidak bekerja pada setiap hari untuk berlatih.

“Sebenarnya bacaan Al Quran memang perlu dibuat setiap hari. Jadi kebiasaannya saya gunakan masa selepas solat ataupun bila ada masa terluang.

“Dari segi bilangan berapa kali buat, itu tiada yang spesifik, maknanya apabila ada terluang ada kesempatan… saya akan buat latihan.

“Di samping juga cari masa untuk bertalaqqi (kaedah tradisional berguru secara bersemuka) dengan guru-guru al-Quran,” katanya.

Muhammad Hazim yang bertugas di Hospital Lahad Datu itu juga menggunakan waktu rehatnya ketika bekerja untuk mempertingkatkan bacaan ayat suci al-Quran.

“Kadang-kadng saya berlatih ketika waktu rehat dan petang selepas solat Asar. Jika ada masa sebelum waktu balik kerja dan semasa memandu pun saya akan berlatih jika ada kesempatan,” katanya.

Sementara itu, Nur Faten Izzati yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Toh Puan Hajah Rahmah memanfaatkan waktu mengajarnya sebagai cara dia memperbaiki kualiti bacaan.

“Saya mengajar subjek Al-Quran. Jadi itu kesempatan saya berkongsi ilmu dengan pelajar dan sambil saya belajar. Malah saya juga jurulatih al-Quran di sekolah.

“Jika berada di rumah, kadang kala sukar untuk fokus kerana perlu mengurus anak yang masih kecil.

“Selain di sekolah, saya juga lebih banyak berlatih dalam kereta (ketika memandu),” katanya yang turut belajar dengan guru menerusi kelas dalam talian.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top