Pakar ekonomi cadang T5, T10 dikecualikan subsidi bahan api, fokus M40 & B40

Pakar ekonomi cadang T5, T10 dikecualikan subsidi bahan api, fokus M40 & B40


Golongan berpendapatan tinggi T5 dan T10 dicadangkan dikecualikan daripada subsidi bahan api bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan.

Penjimatan itu boleh dialihkan kepada B40, M40

Memetik laporan daripada Sinar Harian, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menyatakan langkah itu penting kerana golongan berkenaan dilihat menggunakan subsidi pada kadar lebih tinggi berbanding kumpulan lain.

“Sekiranya subsidi berkenaan dimansuhkan untuk T5 dan T10, penjimatan itu boleh dialihkan kepada golongan B40 dan M40.
“Saya kira kerajaan akan mempunyai lebihan dana untuk mengekalkan harga RM1.99 seliter.
“Sebab itu saya selalu katakan mungkin dalam keadaan semasa perlu ada satu semakan semula belanjawan,” katanya dalam forum meja bulat bertajuk Krisis Tenaga dan Kelestarian Subsidi: Apa Nasib Rakyat Marhaen.

 

Forum tersebut dikendalikan oleh hos televisyen, Ismail Adnan dan turut menampilkan beberapa panel termasuk wakil akademik serta persatuan pengguna.

Terdahulu, krisis Asia Barat yang melibatkan konflik antara Amerika Syarikat-Israel dan Iran serta sekatan di Selat Hormuz memberi kesan besar kepada ekonomi negara.

Penggunaan MyKad bolehkan kerajaan jejak penggunaan subsidi

Situasi itu menyebabkan kos subsidi bahan api meningkat mendadak sehingga RM6 bilion sebulan melalui inisiatif BUDI95 dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), berbanding hanya RM700 juta sebelum ini.

Dalam pada itu, Mohd Afzanizam menjelaskan penggunaan MyKad dalam sistem BUDI95 membolehkan kerajaan menjejak penggunaan subsidi dengan lebih sistematik dan efisien.

“Apa yang saya dimaklumkan, kerajaan boleh menjejak penggunaannya. Jika cadangan seperti itu dilaksanakan, kita boleh melihat corak penggunaan, namun yang paling penting ialah menilai kelayakan berdasarkan pendapatan,” katanya.

Beliau turut menegaskan kerajaan perlu mencari keseimbangan dalam pengagihan subsidi berdasarkan keadaan semasa yang sentiasa berubah.

“Sebab kita berada dalam keadaan kejutan. Dalam keadaan semasa ini, kita tidak boleh tidak mempunyai subsidi,” katanya.

Mengulas cadangan darurat bagi berdepan krisis tersebut, beliau berpandangan ia tidak sesuai dilaksanakan buat masa ini, namun isu kecukupan bekalan bahan api perlu diberi perhatian serius.

“Bagi saya, jika kita sampai ke tahap bekalan minyak tidak mencukupi, itu yang boleh mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan.
“Saya rasa keperluan untuk mengisytiharkan darurat dalam konteks masa ini mungkin kurang tepat untuk dilaksanakan.
“Namun, isu kecukupan bahan api itu penting dan bekerja dari rumah (BDR) sangat tepat dalam konteks ini,” katanya.





Source link

OR

Scroll to Top