Pakar gesa projek ladang babi ditangguh demi keamanan kaum

Pakar gesa projek ladang babi ditangguh demi keamanan kaum


nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kontroversi ladang babi berpusat di Selangor menunjukkan kegagalan kerajaan negeri dalam beberapa perkara termasuk kurang pembabitan awam semasa merancang projek dan tidak sensitif terhadap ‘perasaan’ masyarakat setempat.

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Afifi Abdul Razak berkata, walaupun hasrat memusatkan ternakan babi baik untuk alam sekitar dan kesihatan awam, cara pelaksanaannya gagal mengambil kira realiti politik dan sosial di lapangan.

“Mengenai sama ada isu ini disebabkan politik atau bantahan tulen, jawapannya adalah kedua-duanya berlaku serentak.

“Bantahan masyarakat Melayu adalah benar berdasarkan kebimbangan agama, kesihatan dan kualiti hidup mereka.

“Bagaimanapun, pembangkang jelas mengeksploit isu berkenaan untuk menjatuhkan kerajaan negeri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Justeru, katanya, isu terbabit bukan sekadar lokasi projek, tetapi juga kegagalan kerajaan negeri berbincang dengan penduduk sejak awal lagi.

“Isu ini memang dijadikan alat politik. Pembangkang menggunakan naratif ‘kerajaan tidak sensitif terhadap Islam dan orang Melayu’ untuk memecahbelahkan sokongan rakyat terutama menjelang pilihan raya.

“Namun, kerajaan negeri juga bersalah kerana pengurusan lemah mereka memberi peluang kepada pihak lain untuk mempolitikkan isu terbabit,” katanya.

Bagi menyelesaikan masalah berkenaan, beliau berkata, kerajaan negeri perlu bertindak segera.

“Pertama, tangguhkan projek dan tubuhkan panel pelbagai pihak termasuk wakil penduduk, tokoh agama dan pakar untuk mengkaji semula lokasi.

“Kedua, adakan perbincangan terbuka dengan penduduk bagi mendengar kebimbangan mereka secara langsung.

“Ketiga, wujudkan dasar pembabitan awam yang jelas untuk projek sensitif pada masa hadapan supaya perkara seperti itu tidak berulang,” katanya.

Beliau menyimpulkan bahawa isu berkenaan mencerminkan kegagalan tadbir urus dan bukannya sekadar politik semata-mata.

“Penyelesaian yang diambil memerlukan kerajaan berani mengaku silap dan komited melibatkan masyarakat dalam membuat keputusan penting,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perang Saraf serta Penganalisis Keselamatan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, isu berkenaan perlu dilihat daripada pelbagai perspektif.

“Sudah tentu fitrah dari segi demografi dan psikologi mana-mana kawasan yang padat dengan penduduk Melayu akan merasa terancam dan kurang selesa dengan elemen penternakan babi.

“Ia boleh menyebabkan keresahan emosi kepada masyarakat Islam. Tambahan pula apabila ia dilakukan dalam skala besar akan mencetuskan spekulasi dan perbalahan dari segi kepentingannya mengikut kawasan demografi.

“Maka, dalam keadaan ini, titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah harus diteliti,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri juga sudah mengambil langkah proaktif dengan memastikan elemen penternakan babi diteliti oleh semua pihak.

“Kita percaya tindakan yang tidak diperhalusi sepenuhnya boleh mengundang kepada bantahan jangka panjang sekali gus menimbulkan perbalahan senyap dalam kalangan masyarakat berbeza kaum dan agama selain menggugat keselamatan negara.

“Justeru itu, diharap isu ini dapat diselesaikan dengan perpindahan (ke Bukit Tagar) dapat dirancang semula bagi memberi kelegaan kepada masyarakat Melayu di kawasan itu.

“Pada masa sama, langkah proaktif perlu diambil bagi menjamin kesejahteraan dan keselamatan negara dengan membina inovasi moden supaya negara terus maju serta isu kemerosotan kepercayaan masyarakat (terhadap kerajaan) dapat diperbaiki,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Sultan Selangor murka dengan perancangan kerajaan negeri membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat, bermula tahun ini sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.

Menerusi titah kenyataan, baginda tidak bersetuju khususnya apabila ada kemungkinan ia membabitkan penternakan babi berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top