am@hmetro.com.my
Port Dickson: “Apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya, namun saya bersyukur ia dapat di selesaikan dengan baik.
“Ketika kejadian itu, memang saya marah dan amat kecewa sekali hinggakan saya membuang petai yang siap diikat bernilai sekitar RM200,” kata ‘Pakcik Petai’, Mohd Noor Saad, 67, ketika ditemui di rumahnya, hari ini.
Katanya, dia tidak mengetahui siapa yang mengambil gambar video kerana ramai yang berada tidak jauh dari lokasi kejadian ketika itu.
“Saya memang tiada telefon bimbit malah tidak tahu pun cara menggunakannya tetapi setahu saya ada seorang pegawai perempuan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) beruniform sedang merakam gambar kejadian itu.
“Dua pegawai lelaki MPPD itu yang berjumpa dan memarahi saya yang menyebabkan saya ‘naik angin’ hingga saya bertindak membuang semua petai yang ada di dalam bakul akibat terlalu marah,” katanya.
Mohd Noor berkata, dia hanya membuat kerja kampung dan hanya sekali sekala menjual petai jika ada musim petai bagi menyara kehidupan keluarganya.
“Cuma saya dan isteri, Asiah Yaakup, 63, di rumah manakala dua anak saya, lelaki dan perempuan sudah berkeluarga dan bekerja di Kuala Lumpur serta Johor Bahru.
“Saya sekarang dalam usaha mengumpul duit untuk pembedahan membuang selaput mata kiri isteri di hospital kerajaan dan kos dianggarkan sekitar RM1,500 kerana itulah saya berniaga mencari rezeki mengumpul duit untuk pembedahannya itu,” katanya.
Mohd Noor berkata, memberitahu, sehingga kini dia masih belum berjaya mengumpul wang bagi menampung kos pembedahan itu biarpun turut mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk warga emas sebanyak RM500 sebulan.
“Semalam ada pihak memberikan borang untuk permohonan berniaga sementara dan dia akan melengkapkannya bagi membolehkannya berniaga.
“Sejujurnya saya terkejut kerana isu ‘Pakcik Petai’ viral hinggakan ramai datang menyatakan sokongan dan turut menyumbang membuatkan saya benar-benar terharu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd