Palang Merah lancar rayuan kecemasan US$51.5 juta bagi sokongan kemanusiaan di Iran

Palang Merah lancar rayuan kecemasan US.5 juta bagi sokongan kemanusiaan di Iran


Geneva: Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC) pada Selasa melancarkan rayuan kecemasan berjumlah 40 juta franc Swiss (kira-kira US$51.5 juta) bagi menyokong operasi kemanusiaan di Iran susulan peningkatan keperluan akibat konflik yang berterusan.

Menurut Anadolu Ajansi, rayuan itu akan membantu Persatuan Bulan Sabit Merah Iran memperluas bantuan kepada kira-kira lima juta penduduk di 30 wilayah terjejas dalam tempoh 16 bulan akan datang, dengan tumpuan kepada mereka yang terkesan akibat kerosakan infrastruktur, risiko kehilangan tempat tinggal dan gangguan kepada perkhidmatan asas.

“Dengan keperluan kemanusiaan yang meningkat mendadak setiap hari, Rayuan Kecemasan ini akan membantu memperluas bantuan menyelamatkan nyawa dan memastikan sokongan sampai kepada mereka yang paling terjejas,” kata Maria Martinez, Ketua Delegasi IFRC di Iran, dalam satu kenyataan.

Persatuan Bulan Sabit Merah Iran memberikan respons sejak konflik meruncing pada 28 Februari.

Menurut IFRC, sebanyak 529 cawangan kini terlibat dalam usaha tindak balas di 197 bandar, dengan lebih 2,100 pasukan respons serta lebih 6,500 kakitangan dan sukarelawan digerakkan.

Pasukan kecemasan menjalankan operasi mencari dan menyelamat, menyediakan rawatan perubatan serta membantu komuniti yang terjejas, menurut kenyataan itu. Talian penting di seluruh negara turut menerima ribuan panggilan bagi menyediakan sokongan kesihatan mental dan psikososial.

IFRC berkata rayuan itu akan membiayai penyediaan tempat perlindungan kecemasan, bekalan bantuan, perkhidmatan kesihatan, sokongan air dan sanitasi serta bantuan psikososial.

Persekutuan itu juga memperuntukkan 1.5 juta franc Swiss (US$1.9 juta) daripada Tabung Kecemasan Respons Bencana bagi menyokong operasi bantuan awal, menurut kenyataan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top