ISU Palestin bukan sekadar isu politik atau konflik perebutan kuasa dan kawasan, bahkan ia merupakan satu perjuangan panjang golongan tertindas yang mengandungi latar sejarah tersendiri dalam menuntut hak, nilai manusiawi dan kesejahteraan kehidupan.
Untuk benar-benar memahami tragedi yang menimpa rakyat Palestin, kita perlu menelitinya secara holistik, melihat gambaran keseluruhan tanpa terperangkap dalam kerangka cerita yang terpisah-pisah.
Memotong-motong sejarah ini, terutamanya dengan menjadikan tarikh-tarikh tertentu seperti peristiwa 7 Oktober sebagai titik mula analisis, merupakan satu bentuk penyelewengan naratif yang berbahaya dan mengaburi hakikat sebenar isu yang berusia lebih tujuh dekad.
Bahaya naratif terpisah dan penyelewengan fakta sejarah
Akhir-akhir ini, terdapat kecenderungan dalam wacana tempatan dan antarabangsa untuk membingkaikan isu Palestin berpunca daripada tindakan kumpulan tertentu pada suatu tarikh tertentu.
Perkara ini mengundang kekeliruan dan mendorong untuk memadamkan memori kolektif tentang apa yang berlaku di sebaliknya.
Ia ibarat menceritakan sebuah filem dengan hanya bermula dari babak klimaks, tanpa memahami permulaan, watak dan plot yang membawa kepada babak tersebut.
Akibatnya, penonton mudah membuat kesimpulan yang tidak adil dan berat sebelah.
Usaha sedemikian adalah satu strategi perang naratif untuk melegitimasi penjajahan, mengalihkan perhatian terhadap genosid dan jenayah perang yang dilakukan serta pelanggaran hak asasi manusia yang berterusan.
Ia menjadikan rakyat Palestin dan pejuang pembebasan, yang telah hidup di bawah penjajahan selama puluhan tahun, sebagai pihak yang bersalah dengan labelan pengganas semata-mata kerana tindak balas mereka terhadap penindasan.
Naratif sebegini sengaja diputar untuk mengalihkan perhatian dunia daripada realiti sebenar iaitu pendudukan haram rejim Zionis ke atas tanah Palestin yang telah berlangsung sejak tahun 1948 (Nakbah) dan 1967 (Naksah).
Untuk berlaku adil, jihad kita adalah menolak naratif songsang dan anekdot terpilih ini seterusnya kembali kepada susur galur sejarah yang lengkap.
Menelusuri sejarah Palestin makmur dan penjajahan pahit Bumi Palestin memiliki sejarah tamadun yang gemilang dan panjang.
Bumi ini bukanlah tanah kosong tanpa penduduk (terra nullius) seperti yang sering didakwa oleh naratif Zionis.
Ia telah diduduki oleh rakyat Palestin yang merangkumi Muslim dan Kristian secara turun-temurun selama berabad-abad. Mereka memiliki budaya, ekonomi dan kehidupan sosial yang utuh.

RAKYAT Palestin kini ditekan hingga ke benteng terakhir mereka di Semenanjung Gaza. Foto Canva
Malapetaka bermula dengan berkembang fahaman Zionis pada akhir abad ke-19 (1897) dan kemudian disokong oleh kuasa kolonial seperti British melalui Deklarasi Balfour (1917).
Deklarasi yang tidak berperikemanusiaan ini menjanjikan sebuah “rumah kebangsaan” untuk orang Yahudi di atas tanah yang diduduki oleh majoriti rakyat Palestin.
Ini diikuti dengan penghijrahan besar-besaran pendatang Zionis dari Eropah, yang sering disertai dengan pengusiran dan penindasan terhadap penduduk tempatan.
Kemuncaknya adalah pada tahun 1948, di mana lebih daripada 750,000 rakyat Palestin diusir secara paksa dari kampung halaman mereka dalam peristiwa yang dikenali sebagai Nakbah (malapetaka).
Negara Israel diisytiharkan di atas runtuhan bangunan dan desa-desa Palestin yang dihapuskan.
Sejak dari itu, rakyat Palestin hidup sebagai pelarian di serata dunia atau di bawah pemerintahan rejim apartheid Israel, menerusi pendudukan haram di Tebing Barat dan kepungan di Semenanjung Gaza.
Inilah naratif sebenar yang wajib difahami iaitu sebuah kisah penjajahan, pembersihan etnik dan penafian hak untuk menentukan nasib sendiri yang berterusan hingga ke hari ini.
Jika tidak berlaku ‘serangan 7 Oktober’ sekalipun, rejim Zionis tetap berterusan melakukan agenda dan muslihat mereka.
Palestin: Tanah wakaf umat Islam
Bagi umat Islam di seluruh dunia, keterikatan dengan Palestin bukan sekadar ikatan kemanusiaan atau politik, tetapi juga ikatan akidah dan kerohanian.
Bumi Palestin, khususnya Baitulmaqdis (Al-Quds), merupakan tanah wakaf umat Islam. Di dalamnya terdapat Masjidil Aqsa yang merupakan kiblat pertama umat Islam dan tempat berlakunya peristiwa Isra’ dan Mikraj.
Tanah ini diamanahkan oleh ALLAH SWT untuk dijaga dan dipertahankan kesuciannya oleh seluruh umat Islam sehingga hari kiamat.
Statusnya sebagai wakaf menjadikan sebarang penyerahan, pengabaian atau penggadaian terhadap pihak yang menjajahnya sebagai suatu yang bercanggah dengan prinsip agama.

MEMAHAMI isu Palestin memerlukan keberanian untuk melihat sejarah secara jujur dan menyeluruh. Foto Canva
Kewajipan untuk membela Palestin merupakan kefarduan yang menjadi tanggungjawab kolektif umat Islam.
Ia mengingatkan kita bahawa perjuangan rakyat Palestin ialah perjuangan mempertahankan maruah dan kesucian tanah yang diwarisi secara turun-temurun, yang dirampas secara paksa oleh kuasa penjajah.
Kesimpulannya, memahami isu Palestin memerlukan keberanian untuk melihat sejarah secara jujur dan menyeluruh. Kita tidak boleh membiarkan naratif yang diputarbelit dan berasaskan sentimen berterusan mengelabui dan mengaburi kebenaran. Dari sungai ke segara, Palestin pasti akan merdeka!
***USTAZ MUHAMMAD FURQAN ABDULLAH merupakan pendakwah dan penulis buku
Ringkasan AI
- Isu Palestin merupakan perjuangan panjang golongan tertindas yang menuntut hak dan nilai manusiawi
- Memotong sejarah dan menjadikan tarikh tertentu sebagai titik analisis merupakan penyelewengan naratif yang mengaburi realiti sebenar Palestin
- Usaha membingkaikan isu Palestin dengan tindakan tertentu sebagai punca menggalakkan penyelewengan fakta, memadamkan memori kolektif dan membenarkan penjajahan
- Sejarah Palestin mencatatkan penjajahan dan pembersihan etnik yang berakar dari pengembangan fahaman Zionis dan pengisytiharan negara Israel pada tahun 1948
- Tanah Palestin, khususnya Baitulmaqdis, merupakan tanah wakaf umat Islam yang memiliki kedudukan penting secara agama dan diperintahkan untuk dipertahankan